Ulasan dari Hero Tua (mykmu.net) ini benar-benar satu tamparan buat Zahid Hamidi, Tengku Adnan dan lain-lain tiba-tiba menjadi pahlawan mee segera mempertahankan Najib. Selagi adanya 'pemimpin parasit' seperti ini di dalam UMNO / BN, selagi itulah Kerajaan tetap mendapat persepsi negatif dari rakyat.
Baca ulasan Hero Tua berkenaan dengan isu Teguran Tun Mahathir:
Melihat kepada reaksi pelbagai selepas Tun Dr. Mahathir meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap kepimpinan dan dasar-dasar Perdana Menteri, Najib Abdul Razak, sekonyong-konyong ramailah yang cepat-cepat memberikan pelbagai jenis ulasan. Ada yang marah menggila dengan Tun Dr. Mahathir seolah-olah Tun Dr. Mahathir itu telah lama memusuhi Najib Abdul Razak dan melakukan pelbagai onar untuk menggulingkan Najib Abdul Razak.
Sehinggakan mereka yang hidup pada zaman pentadbiran Mahathir, hanyalah dalam bentuk kanak-kanak atau remaja yang tidak pernah peduli pun tentang masalah negara melainkan dengan dunia yang tersendiri, tiba-tiba sekarang ini bercakap tentang kewajaran Mahathir menuturkan perasaan tidak puas hatinya kepada Najib.
Barangkali ramai yang terlupa, sama seperti Anwar Ibrahim, Najib Abdul Razak juga merupakan anak didik Tun Dr. Mahathir. Cuma berbeza sedikit dengan Anwar Ibrahim, Najib agak ketinggalan kerana Mahathir terlalu banyak memberi ruang kepada Anwar yang lebih pandai bercakap, lebih pandai mempublisitikan dirinya dan lebih pandai bermain politik adu domba untuk dia mendapatkan apa yang diidamkannya.
Barangkali selepas Mahathir, Najib merupakan Perdana Menteri yang paling banyak difitnah dan ditohmah. Sebelum dia menjadi Perdana Menteri lagi, cerita-cerita sensasi membabitkan Najib Abdul Razak terutama sekali selepas kemenangan Team Wawasan dalam Pemilihan Agung UMNO pada tahun 1993 yang gdiketuai oleh Anwar Ibrahim, pelbagai cerita tentang Najib Abdul Razak sangat mudah diperolehi. Dan meskipun pada ketika itu, tiada sebarang Internet, tetapi bahan bercetak yang merupakan buku, surat layang dan sebagainya, beredar bebas di pasaran.
Kebanyakannya menceritakan tentang skandal dan pelbagai sensasi yang berkisar tentang Najib Abdul Razak. Dan kemuncaknya ialah apabila Najib Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah Anwar Ibrahim gagal mengenepikan Najib setelah berjaya mengenepikan Rahim Thamby Chik dan Muhammad Haji Mohd Taib dalam skandal dan penyelewengan yang sengaja diada-adakan oleh Timbalan Presiden UMNO pada ketika itu.
Anwar menerima akibat daripada perbuatannya apabila dia menerusi skandal yang paling memalukan - penyelewengan dan rasuah kuasa serta meliwat bekas pemandu peribadi isterinya sendiri – telah dipecat dari Kabinet dan diusir keluar dari UMNO. Najib pula terus mendakikedudukan dan akhirnya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang diberikan harapan tinggioleh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu-Bumiputera untuk memperbaiki semula masalah-masalah yang berlaku sepanjang pentadbiran Abdullah Badawi.
Najib dilabelkan dengan pelbagai tuduhan, ditohmah dengan pelbagai fitnah dan difitnah dengan pelbagai cerita karut, terutama sekali yang membabitkan dua buah kapal selam dan pembunuhan model warganegara Mongolia yang tidak sahaja membabitkan Najib tetapi juga isterinya.
Pada ketika itu, Tun Mahathir langsung tidak membuat teguran kerana menyedari Najib sedang berhadapan dengan masalah tetapi pada masa yang sama, Najib juga tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut. Namun kebanyakan orang yang sekarang ini begitu beriya-iya sedang membela Najib daripada ‘kemarahan’ Tun Dr. Mahathir, mendiamkan diri, bahkan mereka juga merupakan sebahagian daripada orang yang turut memanjangkan cerita fitnah dan tohmahan yang dipopularkan oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya.
Agak aneh kerana sewaktu Najib diserang beramai-ramai dengan pelbagai cerita tidak masuk akal, kemarahan seperti yang ditunjukkan ketika Tun Mahathir tidak berpuas hati dengan Najib, tidak pula ditunjukkan. Masing-masing menikus dan berpura-pura tidak mendengar. Tidak pula kedengaran mana-mana Ketua Bahagian UMNO mahupun Ketua Pemuda UMNO yang muncul membela Najib. Naib-Naib
Presiden mahupun Ahli Majlis Tertinggi pun, semuanya pakat duk nganga.
Tetapi apabila Mahathir menzahirkan kemarahannya, pandai pula mereka melompat!
Apakah sebenarnya Najib hanya dibela apabila Tun Mahathir marah tetapi semua pakat tutup mulut sebab takut kalau benar Najib tumbang, pembelaan ke atas Najib akan membuatkan mereka hilang hak atau dicalonkan dalam pilihanraya?
Ini trend yang sudah berkerak dan basi, tetapi itulah yang kerap berlaku. Sesama sendiri, sanggup menyingsing lengan, mengangkat parang kalau tidak pun meniup asap kemenyan membaca jampi mentera tetapi kalau pihak musuh yang melakukannya, semua pakat berbungkus di dalam kain batik atau menyarung kondom ke kepala masing-masing. - MyKMU.net