NIAT & CARA SOLAT DHUHA Serta DOA DHUHA (Panduan Lengkap)
Panduan ini akan membimbing anda melakukan Solat Sunat Dhuha secara lengkap, langkah demi langkah.
Apa yang penting:
Setiap bacaan dipermudahkan dengan transliterasi Rumi (untuk anda yang sukar membaca tulisan arab)
Mari kita mulakan..
Maksud Dhuha
Apakah maksud Dhuha?
Secara bahasa, al-Dhuha (الضحى) boleh diterjemahkan kepada “Waktu Pagi” atau “Sinar Pagi”
Oleh itu solat Sunat Dhuha adalah solat yang dilakukan pada waktu pagi, di antara waktu Solat Subuh dan Solat Zohor.
Solat dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut.
Solat Sunat Dhuha dilakukan untuk menghapuskan dosa dan agar murah rezeki.
Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini.
Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:
Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.
— Riwayat Muslim
Waktu Solat Dhuha
Bilakah waktu Solat Dhuha?
Solat Sunat Dhuha dilakukan apabila matahari telah naik pada waktu pagi sekadar satu galah tingginya.
— Iaitu sekitar 40-48 minit selepas masuk waktu syuruq
Ini berdasarkan hadis:
Nabi ﷺ keluar menuju ke Quba’ dan melihat penduduk Quba’ sedang mendirikan solat Dhuha, lalu Baginda bersabda, “Solat Awwabin adalah ketika anak unta mula berasa bahang panas matahari.”
— Riwayat Imam Muslim
Tempoh waktu ini berlarutan sehingga hampir gelincirnya matahari, iaitu sebelum masuk waktu zuhur.
Setelah masuk waktu zuhur, maka tamatlah waktu dhuha (10 minit sebelum zuhur).
Catatan
Boleh juga untuk mendirikan terus Solat Sunat Dhuha sebaik sahaja masuk waktu Solat Sunat Isyraq, tanpa melakukan solat sunat Isyraq.
Walau bagaimanapun, lebih afdhal melakukan solat sunat Isyraq terlebih dahulu, kemudian barulah solat sunat Dhuha.
Rakaat Solat Dhuha
Berapakah bilangan rakaat Solat Sunat Dhuha?
Solat sunat dhuha boleh dikerjakan sebanyak dua, empat, enam atau lapan rakaat – dengan setiap 2 rakaat 1 salam.
Perlaksanaan solat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa beliau ditanya tentang bilangan rakaat Solat Dhuha yang dikerjakan oleh Baginda.
Maka beliau menjawab Baginda bersolat sebanyak empat rakaat dan menambah lebih daripada itu jika Baginda kehendaki.
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ yang menyatakan bahawa Baginda solat sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan Kota Makkah.
Rasulullah ﷺ mengerjakan solat dhuha 8 rakaat dengan memberi salam setiap 2 rakaat.
— Riwayat Imam al-Baihaqi
Kedua-dua riwayat ini terdapat dalam sahih muslim.
Solat Dhuha 4 Rakaat Dengan Satu Salam
Terdapat satu persoalan daripada orang awam bagaimana untuk mengerjakan solat sunat Dhuha 4 rakaat sekaligus dengan satu salam.
Berikut adalah jawapan yang dikongsikan oleh Sahibus Samahah Tuan Guru Dato’ Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Kuala Lumpur:
Sunat hukumnya dilakukan solat sunat Dhuha secara dua rakaat satu salam, tetapi jika dilakukan dengan empat rakaat satu salam itu harus hukumnya. Rujuk I`anah al-Talibin (1/294).
Walaupun begitu, kami berpendapat agar dilaksanakan solat dhuha itu secara dua rakaat satu salam sebanyak empat rakaat atau lebih kerana demikian lebih dekat dengan nas.
Daripada Ummu Hani R.anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِ رَكَعَاتٍ كَانَ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya:
Bahawa Rasulullah SAW bersolat duha lapan rakaat, dilakukan dengan salam bagi setiap dua rakaat.
— Hadis riwayat Abu Daud, al-Tabarani, Ibn Khuzaimah, dan al-Baihaqi.
Wallahua`lam.
Niat Solat Dhuha
Bagaimanakah niat Solat Sunat Dhuha?
Lafaz niat Solat Sunat Dhuha adalah seperti berikut:
Usholli Sunnatad-Dhuha Rak’ataini Lillahi Ta’alaa
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.
Catatan
Solat sunat Dhuha lebih afdhal dikerjakan seorang diri dan tidak sunat dikerjakan secara berjemaah.
Cara Mengerjakan Solat Dhuha
Bagaimana cara mengerjakan Solat Dhuha?
Cara Solat Dhuha dari segi pergerakan adalah sama seperti solat-solat yang lain.
Ringkasan Cara Solat Sunat Dhuha
Berikut adalah ringkasan untuk mengerjakan solat ini:
- Niat Solat Dhuha
- Rakaat Pertama
- Al Fatihah
- Asy Syams
- Rakaat Kedua
- Al Fatihah
- Adh Dhuha
- Membaca Doa Dhuha