Type Here to Get Search Results !

Panduan Lengkap Mengerjakan Taubat Nasuha

Bagaimana cara untuk melakukan taubat nasuha?

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



TAUBAT NASUHA (Panduan Lengkap)

Panduan ini akan membantu anda melakukan taubat nasuha secara lengkap.

Dalam panduan ini, saya akan menerangkan:

  • Pengertian taubat
  • Hukum taubat
  • Syarat-syarat taubat
  • Bacaan istighfar, zikir dan doa taubat
  • Tanda taubat diterima

… dan sebagainya.

Kaedah taubat untuk setiap jenis dosa yang utama dan biasa dilakukan juga turut dinyatakan dalam panduan ini.

Semoga membantu. Mari kita mulakan..

Pengenalan

Siapa yang bertaubat kepada Allah sebelum datangnya Al-Ghargharah, maka Allah akan menerima taubatnya.

— Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak no 7661 dan di dalam Sahih al-Jaamik al-Saghir: sahih

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Ghargharah itu?

Ghargharah ialah suatu suara yang keluar daripada kerongkong di saat roh ditarik keluar daripada jasad.

Ini bermaksud kita hendaklah bertaubat sebelum datangnya kiamat kecil (kematian) dan kiamat besar.

Orang yang beriman akan menghadap Allah dalam keadaan takut dan mengharap kepadaNya.

Panduan ini adalah berdasarkan sebuah risalah yang dikarang Fadhilah al-Sheikh Muhammad Saleh al-Munajjid dan diterjemahkan oleh al-Fadhil Syeikh Daud al-Tetouani.

Oleh itu, manfaatkanlah kesempatan yang telah dikurniakan oleh Allah supaya kelak kita tidak memikul bebanan dosa ketika menghadapNya di hari penghisaban.

Selagi roh masih belum bercerai dari halkum, selagi itulah “jendela” taubat masih terbuka luas buat kita.

InsyaAllah.

Maksud Taubat

Picture

Apakah maksud taubat?

Taubat adalah bahasa Arab yang berasal daripada kata-kata “Taaba”. Ertinya ialah kembali.

Seseorang dikatakan kembali atau bertaubat apabila dia menjauhi segala perbuatan dosa.




Oleh itu, taubat nasuha bolehlah diertikan sebagai:

Taubat yang seikhlasnya, yang mana dia menyesali dosa-dosanya yang telah dilakukan, meminta ampun kepada Allah dan berazam tidak akan mengulangi lagi dosa tersebut

Menurut definisi dari Syarh Riyadh al-Solehin Min Kalami Sayyid al-Mursalin Imam Nawawi yang disyarah oleh Fadhilah Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Utsaimeen jilid 1, m.s: 38, cetakan Dar Ibn al-Haitsam, Qaherah 2002.

Kembali kepada Allah SWT dengan melepaskan seluruh hubungan hati dengan dosa, kemudian kembali mengerjakan kewajipannya kepada Allah SWT.

Menurut syariat pula, taubat bermaksud meninggalkan seluruh perbuatan dosa dan menyesali semua kemaksiatan yang telah dikerjakannya kerana Allah SWT.

Kemudian berusaha untuk tidak mengulanginya bila-bila dan di mana saja, walaupun dia mampu dan tahu akan kemungkinan untuk mengulanginya.



Hukum Bertaubat

Hukum bertaubat adalah wajib.

Kita wajib bertaubat daripada segala dosa yang sudah telanjur kita kerjakan. Bukan sekadar wajib, bahkan kita wajib segera bertaubat.

Sebab ada juga perkara wajib yang boleh ditangguhkan seperti mengerjakan solat, mengerjakan haji dan sebagainya.

Ertinya bukanlah bererti sebaik saja masuk waktu solat kita wajib mengerjakannya, tetapi boleh ditangguhkan.

Sedangkan taubat ini wajib segera dilakukan.

Orang yang banyak meninggalkan solat misalnya, orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang yang pernah mencuri, minum arak dan sebagainya, wajib segera bertaubat.

Tidak boleh dia berkata misalnya. “Nantilah kalau sudah tua saya bertaubat.”

Atau dia berkata, “Nantilah saya bertaubat di depan Kaabah.”

Ditakutkan nanti belum sempat usia tua sudah dipanggil ke hadrat Ilahi.

Syarat-Syarat Taubat

Picture

Di antara syarat-syarat taubat yang diperkatakan oleh para ulama’ berdasarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran adalah:

  1. Berhenti serta merta daripada dosa yang dilakukan itu.
  2. Mewujudkan rasa menyesal di atas perbuatan dosa yang telah dilakukan dahulu.
  3. Berazam tidak akan melakukan dosa-dosa terdahulu.

Tambahan: Jika melibatkan hak orang lain, maka hendaklah dipulangkan semula hak orang tersebut dan meminta ampun dan maaf daripada insan tersebut.

Jika salah satu daripada tiga perkara ini tidak ada maka taubatnya tidak sah.

Untuk lebih jelasnya marilah kita bahas satu persatu syarat itu.

Berhenti melakukan dosa maksudnya hendaklah taubat dilakukan setelah meninggalkan dosa.

Orang yang selalu menipu dalam berniaga misalnya, sama ada menipu kerana mengurangkan timbangan, menjual barangan palsu dan sebagainya, maka hendaklah dia hentikan dahulu perbuatan menipu itu, kemudian barulah bertaubat.

Ramai orang yang menipu dalam perniagaan berulang kali menyatakan taubat tetapi dia tidak meninggalkan perbuatannya.

Misalnya setiap kali selepas selesai solat dia mengucapkan istighfar berulang kali kemudian berkata dalam bahasanya sendiri: “Ya Allah, ampunkanlah dosaku“. Jelas sekali taubat seperti itu tidak sah.

Begitu jugalah dosa-dosa lain yang terdiri daripada berzina, meminum arak, mencuri, berjudi, memakan riba dan sebagainya.

Mesti ditinggalkan dahulu perbuatan dosa itu kemudian barulah bertaubat.

Bahkan tidak cukup dengan meninggalkan satu jenis dosa saja. Misalnya dia tinggalkan dosa menipu dalam perniagaan dan dia teruskan dosa-dosa lain seperti yang disebutkan di atas.

Menyesal telah melakukan dosa maksudnya hendaklah timbul rasa penyesalan dalam hatinya.

Ada juga dosa yang menjadi kebanggaan bagi sesetengah orang, misalnya dosa minum arak dan berzina. Ada orang yang berzina semasa mudanya berkata dalam hatinya setelah dia berkahwin atau setelah tua: “Nasib baiklah aku puaskan semasa mudaku”.

Terkadang orang yang berfikir seperti itu mengaku dia sudah bertaubat. Katanya dia sudah bertaubat tetapi hatinya mengatakan begitu dan bukan menyesal. Kalau tidak timbul rasa penyesalan bererti taubatnya tidak sah.

Terkadang dia menceritakan pula kepada orang lain. Kalau dia cerita kepada orang lain bukan hanya dosa lama tidak terampun, bahkan timbul pula dosa baru. Dia mendapat dosa jika menceritakannya kepada orang lain.

Berazam tidak melakukannya lagi untuk selamanya maksudnya hendaklah diputuskan dalam hati tidak akan mengulanginya lagi. Kalau hatinya masih separuh separuh, tidak sah taubatnya.

Misalnya dia berkata, “Ya Allah, ampunkanlah dosaku berzina itu”. Tetapi hatinya masih ingin melakukannya. Taubat seperti ini tidak sah.

Ini sama juga dengan yang sebelumnya, iaitu berazam untuk tidak kembali melakukan semua jenis dosa. Tidak boleh berazam untuk tidak mengulangi menipu pelanggan tetapi masih ingin main perempuan.

Apakah taubat seseorang itu sah atau tidak, apakah termasuk taubat nasuha atau taubat pura-pura, hanya Allah SWT yang dapat menentukannya.

Allah SWT tidak dapat ditipu kerana Dia tahu apa yang ada dalam hati manusia.

Apakah seseorang itu betul menyesal atau tidak, apakah dia betul berazam tidak akan melakukannya lagi, hanya orang yang bertaubat itu yang tahu.

Dan yang pasti Allah SWT pun tahu.

Biasanya kalau seseorang itu betul betul menyesal, akan timbul kesannya kepada orang yang bertaubat.

Orang yang betul menyesal sudah pasti disusuli dengan linangan air mata. Orang yang menyesal biasanya akan berubah sikapnya.

Orang yang menyesal akan berubah tutur katanya, cara berpakaiannya, amalannya, pergaulannya dan sebagainya.

Cara Taubat Nasuha

Bagaimana cara melakukan Taubat Nasuha?

Sudah dikira taubat nasuha jika kita mengikuti tiga syarat taubat iaitu kita menyesal, berhenti serta merta dari perbuatan dosa itu dan berazam tidak melakukannya lagi.

Namun sebaik-baiknya, rasa menyesal itu lebih elok diikuti dengan memperbanyakkan lafaz istighfar dan melakukan solat sunat taubat.


RUJUKAN BERKAITAN

Niat & Cara Melakukan Solat Taubat

Bagaimana tatacara melakukan solat sunat taubat?

Panduan ini akan menerangkan secara langkah-demi-langkah tatacara mengerjakan solat sunat taubat, bacaan istighfar dan doa taubat (dengan bantuan transliterasi rumi)

Ibnu Umar dan Ubai bin Kaab berkata:

Taubat Nasuha itu ialah, bahawa seseorang bertaubat daripada dosa-dosa kemudian tidak kembali kepadanya lagi seperti tidak mungkin kembalinya susu ke payudara binatang.”



Sedangkan Hasan Basri berkata:

Taubat Nasuha jalah hendaklah seseorang menyesal atas apa (dosa) yang pernah dikerjakannya pada masa lampau serta diiringi dengan sikap tidak kembali kepadanya.”

Pendapat lain mengatakan bahawa di antara tanda-tanda taubat nasuha itu ialah:

1. Taubat meliputi segala dosa, sehingga tidak ada satu pun dosa yang tertinggal dan menghilangkan pengaruh nya terhadap jiwa, sebagaimana sinar matahari menghapuskan kegelapan malam.

Sesungguhnya orang yang bertaubat dari suatu dosa dan tetap mengerjakan maksiat yang lain, maka taubatnya belum sempurna.

2. Bertekad akan bertaubat hingga akhir hayatnya, untuk mengakhiri dosa-dosa. Berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya yang telah lalu sebagaimana susu tidak akan kembali ke sumber asalnya.

3. Memulai dengan penyesalan dan mengakhiri dengan perbuatan amal soleh dan ketaatan, membersihkan hatinya dari pengaruh maksiat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan dosa buat selama-lamanya.

4. Menjauhi seluruh perbuatan dosa. Taubat tidak bererti apa-apa jika disertai dengan perbuatan dosa. Allah SWT tidak akan menerima perbuatan baik seseorang selama dia melakukan perbuatan maksiat tersebut. Jiwa yang terbelenggu dalam memikirkan maksiat akan mengikis habis perbuatan baik.

5. Sesungguhnya seorang hamba tidak dituntut untuk mengerjakan seluruh perbuatan baik, akan tetapi dia dituntut meninggalkan seluruh perbuatan jahat. Dengan akan mendorong dirinya melakukan kebaikan.

Bagi seseorang yang bertaubat dari kemunafikan, maka tidak dibenarkan berbuat zina, bahkan dia dituntut melepaskan seluruh kejahatan dari hatinya.

6. Apabila ingin bertaubat dari seluruh dosa, maka seluruh anggota badan harus bertaubat. Taubat mata ialah memelihara pandangan daripada perkara yang haram. Taubat tangan ialah memeliharanya daripada mengambil barang-barang haram. Taubat kemaluan ialah dengan cara menjauhkannya daripada perbuatan zina dan lain-lain sebagainya.

7. Mengenang atau mengingati apa saja yang pernah dikerjakan kemudian melaksanakan kewajipan kewajipan yang telah ditinggalkan. Mengembalikan hak kepada pemiliknya, mentaati segala perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kaedah Taubat Dari Beberapa Dosa Utama

Picture

Disini disenaraikan panduan taubat nasuha daripada dosa-dosa utama yang sering berlaku.

Dosa-dosa ini bukan sahaja memerlukan taubat kepada Allah, malah mengembalikan hak yang sepatutnya bila melakukan kesalahan terhadap manusia lain.

1. Bertaubat Daripada Zina

Saya pernah melakukan perbuatan terkutuk dengan seorang perempuan dan sekarang sangat menyesal.

Bagaimanakah cara saya perlu bertaubat?

Adakah saya perlu berkahwin dengan perempuan itu sebagai tanda taubat?

Jika perempuan itu hamil, adakah saya wajib memberikan nafkah terhadap anak hasil perbuatan zina tersebut?

Dalam kes zina, terdapat dua keadaan, iaitu:

Pertama: Zina Secara Paksa

Jika dia berzina dengan perempuan tersebut secara paksaan, maka hendaklah dia membayar kepada perempuan tersebut mahar mitsil [1] sebagai ganti rugi kemudaratan yang ditanggung.

Selain itu, hendaklah dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Jika perkara ini sampai ke pengetahuan pihak penguasa, maka perlulah dijatuhkan hukuman yang setimpal ke atasnya.

Kedua: Zina Suka Sama Suka

Jika dia berzina dengan perempuan tersebut dengan kerelaan masing-masing, maka tiadalah apa-apa pun padanya melainkan hanyalah perlu bertaubat kepada Allah dengan sebenar-sebenar taubat.

Anak tersebut tidak boleh di’bin’ (dinisbahkan) kepadanya secara mutlak.

Oleh itu, dinisbahkan anak itu kepada ibunya.

Dia juga tidak wajib memberi nafkah kepada anak tersebut kerana anak tersebut merupakan anak zina.

Selain itu, orang yang bertaubat ini tidak diwajibkan berkahwin dengan perempuan tersebut untuk menutup kesalahan tersebut.

Lelaki yang berzina tidak boleh mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang beriman.

— Surah An-Nur: 3

Dan tidak boleh menjalankan akad nikah dengan perempuan yang terdapat janin hasil dari zina dalam perutnya, walaupun dari benih sendiri.

Dan juga tidak boleh menjalankan akad nikah dengan perempuan yang tidak pasti apakah dia hamil atau tidak — walaupun lelaki dan perempuan itu telah bertaubat.

Jika telah nampak tanda rahim wanita itu bebas[2] dari air mani lelaki itu, maka ketika itu adalah haruslah untuk mereka berdua berkahwin dan memulakan kehidupan baru bersama-sama.

Nota Kaki

1 Mahar Mitsil: iaitu mahar yang dinilai mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan mas kahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak dan ibu saudara.

Disamping itu, mas kahwin juga dinilaikan berdasarkan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

2 Istibra’ rahim (pembebasan rahim) ialah untuk memastikan perempuan tersebut tidak hamil hasil penzinaan tersebut, iaitu dengan menunggu haid sebanyak sekali.

Maka selepas tempoh itu, dapatlah diketahui yang perempuan itu hamil atau tidak.

Jika hamil, maka hendaklah dia menunggu sehingga melahirkan anak.

Iddah dan istibra’ rahim adalah perkara yang berbeza.

Ini kerana iddah adalah hak pasangan suami isteri yang sah dan bukannya zina. Manakala dalam kes zina, ia adalah istibra’ rahim.

Kata Syeikh Saleh Utsaimeen:

“Iddah adalah hak seorang suami yang menceraikan isterinya. Sedangkan lelaki yang berzina dengannya statusnya bukan suami melainkan fajir/penzina.” (Syarh al-Mumti’ [5/215, cetakan Darul Atsar])

Maka selepas perempuan yang berzina itu bertaubat dan selesai melakukan Istibra’ rahim, maka adalah sah untuk dikahwini.

Jikalau penzina lelaki itu ingin mengahwini perempuan tersebut, syaratnya adalah lelaki tersebut sudah bertaubat terlebih dahulu.


2. Adakah Wajib Mengakui Dosa Silam Kepada Suami?

Picture

Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang baik.

Tetapi malangnya, pada waktu silam saya pernah melakukan perbuatan terkutuk.

Apakah saya harus menceritakan dosa silam kepada suami saya?

Tidak wajib kepada mana-mana pihak untuk menceritakan dosa silamnya kepada pasangannya.

Selagi mana Allah menutup keaiban diri kita, maka cukuplah kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat kepadaNya.

Dan sesiapa yang telah mengahwini seorang anak dara dan apabila tiba malam perkahwinannya dia mengetahui bahawa perempuan tersebut tidak suci lagi disebabkan dosa silam yang dilakukannya, maka lelaki itu berhak mengambil semula mahar yang telah diberikan serta menceraikannya.

Jika perempuan tersebut sudah bertaubat, maka rahsiakanlah hal tersebut dan kekallah bersama perempuan itu.

Dengan izin Allah, InsyaaAllah suami yang bersabar akan dikurniakan pahala oleh Allah.


3. Taubat Daripada Mencuri

Picture

Bagaimanakah taubat bagi seorang pencuri?

Pertama sekali, jika benda yang dicuri tersebut masih berada dalam simpanan, maka wajib dipulangkan kembali benda tersebut kepada tuannya dengan segera.

Jika benda itu telah rosak atau musnah (atau sudah buruk), maka wajiblah menukar ganti benda tersebut dan memulangkan kembali kepada tuannya.

Jika tidak mampu, maka mintalah maaf serta tolak ansur daripada pemilik barang tersebut.

Bagaimana jika tidak berani untuk berterus terang kepada pemilik barang tersebut?

Dalam hal ini, pulangkan kembali barang yang dicuri itu menggunakan dengan menggunakan orang tengah.

Minta orang tengah tersebut menyampaikan barang tersebut tanpa menyebut nama kita.

Selain itu, kita juga boleh memulangkan barang menggunakan pos atau meletakkan barang curi tersebut di tempat asalnya tanpa pengetahuan pemilik asal.

Apa yang penting adalah barang tersebut selamat sampai kepada pemilik sebenar barang itu.

Bagaimana jika gagal memulangkan barang yang dicuri?

Saya pernah mencuri harta syarikat di tempat kerja dan berhenti kerja. Namun sekarang ini saya telah bertaubat serta sangat menyesal.

Saya ingin memulangkan kembali harta tersebut. Tetapi syarikat tersebut telah berpindah dan saya gagal mengesan alamat terbaru mereka.

Apa yang harus saya lakukan?”

Pertama sekali, hendaklah kita terlebih dahulu sedaya upaya mencari tempat dan alamat syarikat atau tuan punya syarikat tersebut dengan segala jalan yang ada.

Jika insan tersebut telah mati, maka pulangkanlah benda tersebut kepada waris atau keluarga tuan punya syarikat tersebut.

Jika masih juga tidak menjumpainya setelah habis segala ikhtiar, maka sedekahkanlah harta tersebut sebagai penebus kepada harta yang dicuri itu, dan niatkanlah ia untuk insan atau syarikat tersebut – walaupun insan atau syarikat tersebut adalah kafir.

Kerana Allah akan memberikan kepada mereka harta di dunia tetapi tidak di akhirat kelak.




4. Mengambil Harta Anak Yatim & Menjadikan hasil curi sebagai modal perniagaan

Picture

“Saya mengambil harta anak yatim dan menjadikan ia modal perniagaan. Setelah sekian lama, saya mendapat keuntungan dan harta tersebut telah bertambah berkali ganda.

Sekarang saya telah bertaubat dan bagaimana harus saya serahkan harta tersebut?

Para ulama telah mengeluarkan banyak pendapat mengenai hal ini.

Namun pendapat yang paling pertengahan ialah hendaklah memulangkan modal asal itu kepada anak yatim tersebut dan ditambah bersama dengan setengah daripada keuntungan tersebut.

Maka jadilah kamu dan anak yatim tersebut seakan-akan rakan kongsi terhadap keuntungan tersebut, dan dalam masa yang sama kamu telah pun memulangkan hak mereka.

Pendapat ini dinyatakan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah al-Harrani. Pendapat ini telah diperkuatkan oleh Imam Ibnu Qayyim rhm di dalam al-Madaarij.

Begitu juga jika seseorang telah mencuri beberapa ekor ternakan daripada unta atau kambing, lalu binatang yang dicuri itu membiak dan beranak – maka hendaklah dipulangkan binatang yang dicuri itu beserta setengah ekor daripada anak-anak binatang tersebut kepada tuan asalnya.

Jika binatang (ibunya) itu telah mati, maka berikanlah harga binatang tersebut bersama setengah ekor anak-anaknya kepada tuannya.

Contohnya
Kamu telah mencuri duit seorang anak yatim itu sebanyak RM1000.

Selepas itu kamu telah memperniagakan wang curi tersebut dan menjadikannya sebagai modal, lalu mendapat keuntungan hasil wang curi yang diperniagakan itu sebanyak RM4000.

Selepas itu kamu bertaubat dan ingin memulangkannya.

Oleh itu, hendaklah dipulangkan RM1000 dan ditambah bersama setengah daripada keuntungan tadi iaitu RM2000.

Maka jadi RM3000 yang perlu dipulangkan.

Wallahu a’lam.


5. Bertaubat Daripada Dosa yang Melibatkan Hak Manusia Lain

Hendaklah sesiapa yang ingin bertaubat itu melepaskan diri dari belenggu kezaliman silamnya yang dahulu dengan melunaskan kembali perkara tersebut dengan:

  • Membayar kembali jika berkaitan dengan duit dan harta benda.
  • Hendaklah meminta dihalalkan atau meminta supaya dia memaafkanmu.

Jika dia memaafkanmu, maka segala puji bagi Allah.

Andai tidak, pulangkan kembali haknya.

Sesiapa yang mempunyai kezaliman terhadap saudaranya, iaitu yang berupa maruah atau harta benda, maka mintalah kepadanya agar dihalalkan (perkara-perkara tersebut) cepat-cepat sebelum diambil daripadanya di hari tiadanya dinar juga dirham, (yang mana pada hari itu) jika dia mempunyai amalan soleh, maka akan diambil daripada amalan tersebut sekadar kezaliman yang dilakukannya, jika dia tidak mempunyai apa-apa amalan (soleh), maka akan diambil pula kejahatan-kejahatan orang yang dizaliminya itu, lalu diberikan kepadanya.

–        Muttafaqun ‘Alaihi


6. Bertaubat Dari Mengambil Rasuah

Saya pernah mengambil rasuah, kemudian saya telah bertaubat.

Maka apakah yang perlu saya lakukan dengan duit-duit rasuah yang pernah diterima?

Rasuah biasanya berlaku dalam dua keadaan ini:

1) Mengambil rasuah daripada orang yang dizalimi

Keadaan ini berlaku apabila orang yang dizalimi tersebut terpaksa membayar rasuah untuk menuntut kembali haknya, dimana dia tidak mungkin akan mendapat kembali haknya melainkan dengan membayar rasuah.

Maka dalam keadaan sebegini, wajiblah keatas orang yang ingin bertaubat ini memulangkan kembali duit rasuah tersebut kepada pemberi rasuah jenis ini.

Kerana hukumnya dikira seperti harta yang dirampas, dan orang yang memberi rasuah tersebut seakan-akan dipaksa.

2) Mengambil rasuah daripada orang zalim

Jika pemberi rasuah tersebut memberikan rasuah kepada perkara yang tiada terdapat haknya di situ, maka dalam keadaan ini, duit tersebut tidak perlu dipulangkan.

Duit tersebut hendaklah dibelanjakan pada jalan kebaikan yang diharuskan seperti memberikannya kepada fakir miskin.

Taubatnya sama seperti sesiapa yang mengambil hak orang lain dari tuannya.


7. Bertaubat Daripada Mengumpat Orang

Jika saya pernah mengumpat dan memburukkan orang lain, adakah disyaratkan supaya saya memberitahu mereka tentang dosa tersebut disamping meminta maaf?

Masalah sebegini terletak pada perkara berkaitan masalih (perkara yang boleh mendatangkan kebaikan) dan juga mafasid (perkara yang boleh mendatangkan keburukan dan kemudaratan) jika kamu memberitahu mereka tentang umpatan kamu dan tuduhan kamu kepada mereka itu.

Jika perkara tersebut tidak menambahkan kemarahan dan kesedihan mereka, maka berterus-teranglah kepada mereka tentang hal tersebut secara umum sahaja (tanpa perlu memperincikan tentang perkara tersebut) berserta meminta maaf dengan penuh penyesalan.

Manakala, jika anda risau atau takut apabila diberitahu mereka tentang perkara tersebut akan mengakibatkan permusuhan dan pergaduhan yang besar (bakal berlaku kemudharatan yang besar), oleh itu cukuplah kita bertaubat dengan memenuhi beberapa perkara berikut:

  • Hendaklah menyesal dan hendaklah meminta keampunan daripada Allah, serta cuba bermuhasabah tentang betapa haram dan terkutuknya perbuatan tersebut.
  • Hendaklah memuji insan yang diumpati itu dengan pujian kebaikan di hadapan orang lain. Sebutkan segala kebaikan-kebaikan insan tersebut.
  • Hendaklah dia membela insan yang diumpatinya itu, jika adanya orang lain sedang mengatakan perkara tidak baik terhadap insan tersebut.
  • Berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa orang yang diumpatinya (tanpa pengetahuannya)

8. Bertaubat Dari Pekerjaan Yang Haram

Saya telah bekerja dalam bidang yang haram dan telah mendapat gaji hasil dari kerja tersebut.

Sekarang saya sudah bertaubat.

Apakah saya perlu memulangkan kembali gaji ini kepada majikan saya?

Menurut pendapat Ibnu Taimiyah:

Seseorang yang bekerja dalam bidang yang haram, atau memberikan perkhidmatan yang haram dan telah bertaubat kepada Allah serta masih mempunyai saki-baki gaji dari kerja tersebut:

– maka hendaklah dia membelanjakan wang tersebut tanpa perlu dia memulangkan semula wang tersebut kepada majikannya.

Seorang pelacur yang telah bertaubat tidaklah perlu dia memulangkan kembali wang yang diperolehinya kepada bekas pelanggannya.

Seorang penyanyi yang membuat persembahan yang diharamkan (tidak mengikut syarak) tidak perlu memulangkan kembali duitnya kepada penganjur konsert tersebut.

Kerana jika dia memulangkan kembali wang haram tersebut kepada penganjur itu, maka dia telah menghimpunkan kembali duit haram itu dan seterusnya menolong penganjur itu meneruskan kerja haramnya.

Maka cukuplah untuk membelanjakan wang tersebut untuk kegunaan lain.


9. Bolehkah Menghapuskan Simpanan Barang-Barang Yang Haram Dengan Menjualnya?

Saya telah bertaubat nasuha kepada Allah, tetapi dalam masa yang sama saya masih mempunyai simpanan barang-barang yang haram seperti peralatan judi, arak, filem lucah dan sebagainya.

Saya ingin menghapuskan semua barang tersebut dari hidup saya.

Bolehkah saya menjualnya?

Jawapannya adalah tidak boleh.

Tidak boleh menjual barang-barang yang haram dan hasil yang diperolehi dari penjualan barang-barang tersebut adalah haram!

Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah jika sudah mengharamkan sesuatu, maka akan diharamkan juga harganya (hasil dari perkara yang diharamkan tersebut)

— Riwayat Ali Ibn Ja’ad, Abu Daud, al-Syafiey, Ahmad, al-Daraqutni dan al-Baihaqi.

Apabila kita sudah tahu jika kita menjual sesuatu barang dan pembeli tersebut akan menggunakannya ke jalan yang haram, maka hukumnya tidak boleh menjual barang tersebut.

Dan janganlah kamu bertolong-tolong didalam perkara dosa dan permusuhan.

— Al-Maidah: 2

Adakah Perlu Mengaku & Minta Dijatuhkah Hukuman?

Picture

Adakah disyaratkan untuk mengakui segala jenayah silam di mahkamah dan meminta dijalankan hukuman?

Tidak wajib seseorang itu untuk mengaku segala jenayah silamnya dihadapan seorang hakim supaya dijalankan hukuman ke atasnya.

Sesiapa yang telah Allah tutup segala rahsianya, maka tidak mengapalah untuk dia menutupi rahsia dirinya sendiri.

Cukuplah dengan taubat kepadaNya dengan sebenar-benar taubat nasuha dan mengakui segala dosa-dosa silam itu dihadapanNya.

Bertaubat Untuk Satu Dosa, Tetapi Masih Tidak Bertaubat Untuk Dosa Lain

Adakah sah taubat nasuha saya, jika saya hanya bertaubat untuk satu dosa, tetapi masih belum bertaubat terhadap dosa yang lain?

Sah taubat terhadap satu dosa walaupun tidak bertaubat untuk jenis dosa yang lain.

Tetapi ini hanya terpakai jika dosa tersebut bukanlah dari jenis dosa yang sama, dan juga tidak ada kaitan dengan dosa yang pertama.

Contohnya:

Jika seseorang itu bertaubat daripada dosa mencuri dan dia tidak bertaubat untuk dosa minum arak, maka taubatnya terhadap mencuri tersebut adalah sah.

Tetapi jika dia bertaubat daripada mencuri kereta dan tidak bertaubat dari mencuri wang tabung masjid, maka taubatnya tidaklah sah.

Sama juga dengan sesiapa bertaubat dari menghisap syisya dan tidak bertaubat daripada minum arak.

— ia tidak dikira sah taubatnya kerana setiap perlakuan tersebut sama sahaja dari segi jenis, rupa dan keadaannya.

Cuma sahaja dijadikan seakan-akan berlainan.



Ada Dosa Dengan Manusia Lain

Picture

Jika dosa itu ada sangkut-pautnya dengan manusia ditambah lagi satu syarat, iaitu minta maaf kepada orang bersangkutan atau tempat kita mengerjakan kesalahan.

Dosa yang ada sangkut-paut dengan manusia misalnya mengumpat orang lain, mencacinya, menuduhnya berzina, mencemarkan nama baiknya, mengambil hartanya dan sebagainya.

Dosa-dosa seperti itu tidak memadai hanya dengan bertaubat kepada Allah SWT, tetapi mesti minta maaf kepada orang bersangkutan.

Kalau dia maafkan, bersihlah kesalahan kita, tetapi kalau dia tidak maafkan kita tetap berdosa.

Nampaknya lebih mudah menyelesaikan kesalahan kepada Allah SWT daripada kesalahan kepada Bani Adam atau manusia.

Ini kerana Allah SWT lebih mudah memaafkan kesalahan daripada manusia.

Ditambah lagi kalau dosa kepada manusia terkadang kita ingin minta maaf tetapi orangnya tidak tahu di mana lagi atau mungkin sudah meninggal dunia.

Jika dosa kepada manusia itu merupakan hutang kepadanya, maka wajib dibayar hutang itu.

Kecuali kalau dia mengatakan sudah dimaafkannya dan tidak perlu dibayar lagi, barulah dianggap selesai walaupun hutang tidak dibayar.

Kalau dosa itu merupakan harta yang dirampas daripada seseorang atau dicuri, maka hendaklah harta itu dikembalikan. Kalau kita mencuri selipar orang misalnya, tidak boleh kita minta maaf saja kepadanya sementara seliparnya tetap saja kita simpan.

Dosa kepada sesama insan ini sepatutnya kita lebih berhati-hati kerana berat akibatnya. Kalau kita mempunyai dosa kepada orang lain, di akhirat nanti sebahagian pahala kita diambil dan diberikan kepada orang yang kita melakukan kesalahan itu.

Kalau amal kita tidak mencukupi untuk menebusnya, dosanya akan diambil kemudian ditimpakan kepada kita. Inilah yang dikatakan orang muflis di Padang Mahsyar nanti.

Pernah dahulu Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sababat baginda: “Tahukah kamu siapa orang yang muflis itu?”

Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis menurut pendapat kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dirham, dinar dan barang-barang di rumah.”

Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan:

Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solatnya, pahala zakat dan puasanya, tetapi dia datang dalam keadaan telah memaki si fulan, telah menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul yang lain.

Maka diberikanlah kepada si fulan kebaikannya yang ini, kepada si fulan kebaikan yang ini dan seterusnya.

Kalau sudah habis kebaikannya sebelum dia membayar akibat dari kesalahan-kesalahannya itu, maka diambillah dosa-dosa mereka (si fulan dan fulan), kemudian ditimpakan kepadanya. Kemudian dia dicampakkan ke neraka.

Keburukan Melakukan Dosa Secara Berterusan

Picture

Imam Ibnu Qayyim rhm ada menyatakan beberapa keburukan melakukan dosa-dosa secara berterusan di dalam kitab beliau, al-Daa’ wa al-Dawaa’

  1. Haram dari mendapat ilmu yang bermanfaat.
  2. Kemurungan dan wujudnya keresahan yang meresahkan di dalam hati.
  3. Disusahkan urusan di dalam kehidupan seharian.
  4. Diharamkan dari berlaku taat.
  5. Diharamkan mendapat keberkatan.
  6. Kurangnya berasa kedamaian.
  7. Disempitkan dada.
  8. Membiakkan perkara-perkara dosa yang lain.
  9. Dibiasakan berterusan melakukan dosa.
  10. Dihinakan oleh Allah.
  11. Dihinakan oleh manusia lain.
  12. Dilaknati oleh segala binatang ternakan.
  13. Ditandakan titik hitam di atas hati.[3]
  14. Diletakkan di bawah kelaknatan.
  15. Terhalang dimakbulkan doa.
  16. Dihapuskan rasa malu.
  17. Ditarik nikmat dari Allah.
  18. Sentiasa merasa takut di dalam hatinya.
  19. Tergolong di dalam tawanan syaitan.
  20. Mati di dalam keadaan yang buruk.
  21. Mendapat azab seksa Allah di akhirat.

3 Seperti dalam hadis nabi yang bermaksud:

Sesungguhnya seorang hambah itu jika melakukan satu dosa, maka akan dititik pada hatinya suatu titik hitam. Jika dia bertaubat dan berhenti dari dosa itu, maka akan dibersihkan hatinya itu. Jika dia kembali melakukan dosa itu kembali, titik hitam akan bertambah sehinggalah hatinya hitam berkarat, dan itulah yang dinamakan al-Raan (tutupan)

— al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 3908, jilid 2, m.s 562, al-Baihaqi di dalam al-Sunan no. 20763, jilid 10 m/s: 316

Bilakah Waktu Taubat Sudah Tidak Diterima Allah?

Picture

Ada masanya Allah SWT tidak menerima taubat daripada manusia walaupun dia betul-betul bertaubat, menyesali perbuatannya sehingga dia menangis dan sebagainya.

Inilah yang selalu diistilahkan dengan “tertutupnya pintu taubat”.

Taubat tidak diterima lagi ketika:

1. Sudah Nazak

Nazak di sini bukan hanya sekadar sakit tenat atau tidak sedarkan diri, tetapi juga jika sudah sampai ke kerongkong seseorang.

Biasanya malaikat maut mencabut nyawa manusia dari ubun-ubunnya. Malaikat menarik roh itu dari ubun-ubun seseorang. Roh itu bergerak dari kaki ke arah kepala.

Mula-mula jari-jari kakinya tidak bernyawa, kemudian betisnya, menyusul pahanya, perutnya, dadanya sampai lehernya.

Ketika roh sudah sampai di leher atau kerongkong, inilah yang dikatakan saat nazak atau ghargharah. Pada waktu ini tidak diterima lagi taubat seseorang.

Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama belum sampai saat ghargharah.”

Berdasarkan hadis itu, Allah SWT Maha Pengampun dan Dia menerima taubat seseorang hamba walaupun dosanya banyak jika dia betul-betul minta ampun, tetapi dengan syarat belum sampai masa ghargharah.


2. Suasana Terancam Nyawa

Firman Allah SWT:

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, dan tidak (pula diterima taubat) orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami telah sediakan seksa yang pedih.”

(Surah An-Nisa’ [4]:18)

Tidak diterima taubat daripada seseorang yang dia bertaubat hanya kerana sudah diambang maut.

Taubat seperti itu adalah taubat dalam keadaan terdesak, dalam keadaan genting atau dalam keadaan nyawa di hujung rambut.

Taubat seperti itu tidak murni atau tulus dari hati orang yang bertaubat. Kalau bukan kerana keadaan gawat, dia tidak ingat dosanya dan tidak bertaubat.

Contohnya orang yang bertaubat ketika kapal terbang yang dia naiki terjatuh.

Misalnya ketika pesawat sudah terbakar dan sudah menjunam ke bawah, maka dia masih sempat bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat, maka taubatnya tidak diterima walaupun dia betul-betul menyesali perbuatannya.

Taubatnya tidak diterima kerana dia bertaubat dalam keadaan sudah dekat ajalnya.

Contoh lainnya orang yang lemas di laut, orang yang terlibat dengan kemalangan jalan raya, orang yang terperangkap di bawah bangunan runtuh dan sebagainya.

Maksudnya sudah tipis harapan untuk selamat dan masih terang hati untuk mengingat dosa-dosa yang telah dilakukan dan masih ada waktu untuk bertaubat.

Dalam keadaan seperti itu, taubat sudah tidak diterima lagi.

Firaun yang terkenal dengan keras kepala dan sombong itu pun masih sedar, insaf dan mengakui kesalahannya ketika berhadapan dengan maut.

Firaun menyatakan keimanannya kepada Allah SWT dan ber taubat daripada segala kesalahannya ketika dia tenggelam di laut. Allah SWT tidak menerima taubatnya itu.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 90 yang bermaksud:

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Fir’aun dan tenteranya, bertujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Fir’aun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah).”

(Surah Yunus [10]:90)

Allah SWT tidak menerima taubat Firaun. Sebelumnya dia sudah terlalu jahat. Dia sudah banyak menindas kaum Bani Israil dan ramai yang dia bunuh. Dia telah banyak menentang Nabi Musa AS. Firaun sebenar nya sangat takjub dengan kekuasaan yang dia miliki hingga membuatkan dia sombong. Dia menganggap diri nya raja dari segala raja, bahkan dia mengatakan dirinya Tuhan. Allah SWT tidak bersedia mengampuni kesalahan Firaun, apatah lagi kerana dia menyatakan keimanannya dan bertaubat setelah berada di ambang maut.

Allah SWT menjawab kata-kata Firaun itu dengan firman-Nya:

الفن وقد عصيت قبل وكنت من المفسدين * “Apakah sekarang (baru engkau percaya), padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu, dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan?” (Surah Yunus [10]:91)


3. Dalam Keadaan Kafir

Allah SWT tidak akan menerima taubat seseorang selama dia masih kafir atau belum beriman.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT: 

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, dan orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami telah sediakan seksa yang pedih.”

(Surah An-Nisa’ [4]: 18)

Jika ada orang kafir yang ingin bertaubat daripada dosa-dosanya, maka hendaklah dia masuk Islam dahulu.

Sebenarnya orang kafir jika dia sudah beriman (masuk Islam), maka terhapuslah segala dosanya selama dia kafir.

Sebaik sahaja masuk Islam, dia bersih daripada dosa seperti keadaan anak yang baru lahir.

Sungguh beruntung orang yang mendapat hidayah untuk masuk Islam, apatah lagi jika dia mampu mempertahankan rekod bersih itu sampai akhir hayatnya.


4. Apabila Matahari Terbit Dari Barat

Taubat juga tidak diterima apabila matahari terbit dari barat atau tempat terbenamnya.

Di antara tanda kiamat kubra (tanda besar) ialah terbit matahari dari tempat terbenamnya.

Menurut riwayat, menjelang kiamat nanti akan terjadi suatu malam panjang.

Malam itu cukup lama baru berganti dengan siang. Orang-orang semua sudah penat tidur dan perut pun sudah terasa lapar tetapi hari masih gelap.

Setelah penat menunggu, barulah muncul cahaya fajar.

Seperti biasa, hari pada pagi harinya mulai terang. Manusia keluar rumah untuk urusan masing-masing. Pada mulanya belum nampak sebarang keanehan.

Tetapi alangkah terkejutnya manusia ketika itu tatkala melihat matahari terbit dari barat atau tempat yang biasa ia terbenam.

Menurut riwayat peristiwa itu nanti akan terjadi pada hari Jumaat, yakni tepat pada hari terjadinya kiamat.

Hari itulah terjadinya kiamat dan pada hari itu pintu taubat sudah ditutup.

Tanda-Tanda Taubat Diterima

Picture

Berkata Ibnu Qayyim rahimahullah; Taubat yang makbul (diterima) itu memiliki beberapa tanda, di antaranya:

  1. Bahawa setelah bertaubat, seseorang itu lebih baik daripada sebelumnya.
  2. Bahawa dia sentiasa diliputi rasa takut, tidak merasa selesa dari makar (seksa) Allah SWT walau sekejap pun.
  3. Di antaranya lagi ialah timbulnya rasa sedih dan takut yang mendalam di dalam hatinya.
  4. Dan di antara tuntutan taubat yang benar juga terjadinya rasa sedih yang bersifat khusus di hadapan Tuhan yang tidak ada tandingan-Nya, suatu kesedihan yang sempurna yang meliputinya dari semua arah dan membuatnya merasa tercampak di hadapan Tuhannya dalam keadaan tidak berdaya, hina dan pasrah penuh khusyuk.

Selanjutnya Ibnu Qayyim berkata:

“Apabila Allah menginginkan suatu kebaikan terjadi pada hamba Nya, maka Dia akan membukakan baginya pintu-pintu taubat, penyesalan dan kepiluan (kerana telah berbuat dosa), merasa hina di hadapan Tuhan, dia merasa sangat mengharapkan pertolongan Tuhan serta mendekatkan diri kepadaNya.”

Penutup: Yakinlah Allah Itu Maha Pengampun

Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

— Surah al-Zumar 53

Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-‘Afuw (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Pengampun) Allah SWT.

Oleh itu yakinlah, apabila seorang pendosa menyesal, meminta ampun dan membuat amalan soleh, pasti akan diampunkan segala dosa.

Pasti!

Semoga panduan ini memberi manfaat yang berguna.


SOURCE: Aku Islam

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies