Apabila Saiful Nang, seorang pengasas kami post pendapat beliau tentang isu arak dalam Penerbangan Malaysia, ramai yang merujuk untuk dapatkan kepastian. Adakah Warga prihatin sependapat atau itu hanya pendapat peribadi SN. Sebenarnya, beberapa hari sebelum post itu dikeluarkan, kami ada membincangkannya dan memang ia adalah rumusan dari pendapat Warga Prihatin juga.
Persoalan utama adakah sajian arak dan pramugari yang tidak bertudung itu menyebabkan MAS rugi dan sering ditimpa bencana sejak akhir akhir ini. Selain dari apa yang telah dinukilkan oleh SN, ingin kami kongsikan sedikit lagi rasional tambahan sebagai melengkapkan apa yang kami telah dibincangkan.JANGAN POLITIKKAN HUKUM ALLAH
Kita sudah terlalu jauh tersasar dalam meletakkan fitrah kita sebagai hamba terhadap perintah tuhannya. Suasana politik telah terlalu banyak mempengaruhi kita dalam menjalankan hak sebagai ulamak dan umarak di negara ini.
Rakyat marhaen sudah cukup bingung dengan pelbagai gejala sosial dan bencana yang menimpa negara ini. Kita sudah letih dengan perdebatan yang tidak berkesudahan. Lebih pening lagi apabila pendirian kita sering sahaja berubah mengikut masa dan selera sendiri tentang satu-satu perkara.
Dahulu kita yakin yang orang Islam tidak boleh bersekongkol dengan orang bukan Islam kerana kita ketika itu bersendirian. Apabila kita rasa kita perlukan sokongan orang bukan Islam, maka fatwa itu dimansuhkan pula. Dulu kita kutuk pemimpin dan isteri yang tidak bertudung. Apabila DAP calunkan Dyana yang tidak bertudung, boleh pula kita sokong tanpa segan silu. Bahkan kita buat tak tahu apabila Dyana terang-terangan tidak menyokong HUDUD yang dahulunya menjadi sasaran perjuangan kita.
Hari ini apabila ada beberapa tokoh dari puak pro BN dengan lantang menyeru MAS untuk menghentikan sajian arak, maka ada pula yang menentang. Berbagai-bagai alasan dan perbandingan dikeluarkan untuk menafikan seruan murni itu. Kenapa tidak kita sokong suatu keputusan yang menepati kehendak Allah itu dengan sebuat suara? Bagi kami inilah punca utama kegagalan usaha murni menghentikan sajian arak ini.
Marilah kita letak tepi seketika perbezaan fahaman dan halatuju politik yang menerbitkan dendam dan habit bangkang membangkang yang berlarutan ini. Mari kita sama-sama bertawakkal pada Allah. Letakkanlah apa yang telah Allah perintahkan itu tepat pada tempatnya tanpa banyak soal, biar siapa pun kita. InsyaAllah rezeki itu milik Allah dan telah Allah janjikan perniagaan yang dijamin tidak rugi jika kita letakkan Allah di hadapan.
Untuk puak yang menyeru pula, cubalah jauhi dari meletakkan seruan itu atas nama diri ataupun parti. Mari kita teruskan bertegas, menyeru atas nama Allah dan Islam, LILLAH BILLAH, bukan atas dasar parti dan untung rugi perniagaan semata-mata. Kami yakin jika kita ramai-ramai menyeru dengan tegas dan istiqomah, usaha ini akan berjaya juga.
Ikutilah KETEGASAN Sultan Brunei yang tidak memperdulikan ancaman dari pihak Barat yang berazam untuk memboikot hotelnya. Yakinlah bahawa ramai yang menyokong hudud akan bangkit menyokong dan menggantikan kehilangan prospek perniagaan yang ditinggalkan oleh puak yang memboikot.
Untuk MAS juga begitu. Ramai sekali orang yang tidak suka arak termasuk golongan bukan Islam. Mereka ini pastinya akan mengikat diri untuk menjadi pelanggan setia jika MAS berani ambil langkah ke arah ‘syarie compliance’ dalam perniagaan mereka.
Hasil perkongsian dengan krew kabin dan kakitangan MAS, ramai sebenarnya yang sudah sedar akan keperluan ini. Mereka sedar bahawa masyarakat memandang serong dengan kerjaya mereka. Imej mereka jatuh dengan persekitaran kerja yang tidak Islamik itu. Mereka dan keluarga mereka juga ingin sejahtera dalam hidup dan tidak mahu mati dalam kekufuran.
Memang telah Allah nukilkan dalam quran bahawa arak itu ada kebaikannya, namun Allah katakan keburukannya lebih banyak. Kerana itu Allah haramkan ia. Mungkinkah Allah tersilap? Jadi, untuk MAS, mungkin ia baik untuk menarik pelanggan, namun keburukannya juga terlalu banyak.
Apa perasaan anda apabila anak gadis atau isteri anda diraba oleh penumpang di sebelahnya akibat terlebih meminum arak? Cuba fikirkan pula berapa banyak penjimatan kos jika arak itu diganti dengan minuman lain? Bayangkan pula kemurkaan Allah dan rasul dengan kedegilan kita mengingkari perintah ini.
RPWP banyak menerima tetamu bukan Islam dari dalam dan luar negara, sendirian atau berkumpulan. Ada yang tinggal dengan kami sampai 2 minggu lamanya. Mereka suka kita bukan kerana arak, hiburan atau khinzir…. Mereka suka kita kerana MH (Malaysian/Muslim Hospitality).
Mereka boleh minum arak dan berhibur semahunya di tempat mereka tanpa sekatan. Yang tiada pada mereka ialah kemurnian akhlak yang ada pada kita, pada Muslim. Inilah sebenarnya yang harus kita PROMOSIKAN.
* * *
ARAK DI ANGKASA - PENJELASAN DARI SUDUT KOMERSIL. RUGI TAK? – SAIFUL NANG
Teringat pada tahun 2008 dahulu, terbang bersama India Air dari Riyadh ke Bombay. Anak kapal membuat pengumuman..
"Ladies & Gentlemen, we will be serving you some refresment shortly, however due to Saudian air regulation, we can't serve you alcohol beverages while we are on the Saudian air" (Bayangkan English mereka lebih baik lagi dengan slang Kajol speaking English)
Saya senyum bangga. Not bad juga kerajaan Arab Saudi kerana mengharamkan semua penyediaan alkohol di atas ruang udara Saudi. Belum habis lagi bangga itu, anak kapal membuat pengumuman kedua "Ladies & Gentlemen, we are now flying on UAE air space, and we are now serving you liquor" (pengsan)
Walaupun diharapkan dalam ruang udara Saudi, tetapi syarikat penerbangan masih ada pilihan untuk menghidangkan arak dalam penerbangan. Sekurang-kurangnya ada regulasi yang dibuat oleh kerajaan Saudi, selebihnya ialah pilihan syarikat penerbangan. Untuk ruang udara Malaysia, arak masih halal dihidang atas kapal terbang. Regulasi kerajaan membenarkan dan syarikat penerbangan juga menghidangkan.
Secara komersil, saya fikir ia tidak rugi langsung untuk MAS berhenti menghidangkan arak dalam penerbangan termasuk melonggarkan pakaian pramugarinya dan memberi pilihan pramugari untuk bertudung. Hari ini, saya ulas untuk arak dahulu.
1. Sebahagian kecil kaki minum yang teringin sangat nak minum arak murah atas penerbangan dan tidak kisah layanan kelas kedua ala-ala bas ekspres Puduraya. Mereka ini akan bertukar ke penerbangan lain asalkan boleh minum arak.
2. Kehilangan kaki arak itu akan berganti oleh sheikh-sheikh, habib-habib, ustaz-ustaz dan muslimin juga muslimat yang selama ini sanggup memandu 10 jam dari KL ke Kota Bharu kerana tidak mahu subahat dengan mencarum wang tiket mereka untuk MAS teruskan menjamu arak dalam penerbangan. Ini juga boleh berlaku jika pramugari mula mengenakan pakaian yang tidak mencolok mata.
3. Peningkatan penumpang dalam sektor antarabangsa terutama dari negara Islam Timur Tengah yang terpaksa bersabar dengan pramugari dan pramugara penerbangan Timur Tengah yang kadangkala agak kasar (di kelas Ekonomi terutamanya) tetapi tidak menghidang arak walaupun Pak Arab ni ramai juga kaki tonggang.
4. Kebanyakan penumpang yang minum arak di dalam penerbangan bukannya mahu sangat dengan arak, tetapi sudah ada pilihan minuman itu, maka mereka ambil lah. Cuba jika tiada, mereka pun tidak meroyan mana. Arak yang dihidang dalam penerbangan pun bukanlah dari jenis-jenis yang mahal sehingga penumpang akan rasa terkilan jika tidak meminumnya. Jika yang edan sangat pun, turun sahaja dari pesawat mereka masih boleh cari di kedai serbanika dan dapatkannya dengan harga yang murah. Kalau tak hidang arak, tiada penumpang mabuk, muntah dan kejadian seksual harrasment dan sebagainya. Bukankah itu lebih menjimatkan lagi?
5. Jadikan MAS penerbangan pertama di Malaysia yang tidak menghidangkan arak dalam penerbangan. MAS akan menang empathy dari penumpang beragama Islam dan dalam masa yang sama masih mengekalkan pelanggan bukan Islam atas layanan yang baik.
6. Bajet arak bila ditiadakan boleh digunakan untuk menaiktaraf hidangan makanan dalam pesawat. Upgrade "nasi lemak telanjang" menjadi pelbagai hidangan yang menarik. Sebagai pengembara, kita mengambil MAS salah satu sebab besarnya kerana ia MALAYSIAN HOSPITALITY termasuk makanannya. Sekurang-kurangnya boleh beri satey 5 cucuk dalam kelas ekonomi. Kaki arak pun tahu timbang tara jika tiada arak, tapi ada satey.
7. Agensi pelancongan pasti akan memberi rekomendasi tertinggi untuk MAS sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan yang tidak ada arak dan tiada pramugari seksi.
8. Sebahagian besar pramugari dan pramugara serta juruterbang, ground staff sehingakan agen-agen jualan sebenarnya tidak redha atau separuh hati kerana terpaksa menghidangkan arak (kerana polisi syarikat) akan menjadi lebih bersungguh-sungguh dalam memberi khidmat mereka kerana mereka tahu...pesawat yang mereka naiki itu SYARIAH COMPLIANCE. MAS akan bertambah produktif bila kakitangannya mula memberikan 100% semula.
9. Arwah atuk saya mengamuk tak bertegur dengan pakcik saya yang kata nak pergi interview pramugara katanya nanti kerja hidang arak. Ok, ini tiada kena mengena tapi saya rasa orang dulu lagi sensibel fikiran mereka.
10. Jika babi diharamkan dari hidangan atas pesawat, mengapa tidak arak kan? Pemakan daging babi pun masih terbang bersama MAS walaupun tiada hidangan babi, begitu juga jika tiada arak...mereka juga akan terbang lagi bersama MAS.
11. Rokok diharamkan takut kabin terbakar itu logik. Rokok elektronik juga diharamkan katanya mengganggu penumpang lain dengan baunya. Sebagai pengembara, saya juga sangat terganggu dengan bau arak jika orang sebelah saya meminumnya. Kenapa tidak kita haramkan arak sekali dalam penerbangan semudah kita mengharamkan rokok elektronik pelbagai perisa kan?
Dalam posting ini juga, saya ucapkan Selamat Pulang korban-korban pesawat MH17 pagi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada anda semua.
SAIFUL NANG
Penyokong Penerbangan Malaysia