Memulakan entri terbaru blognya dengan ucapan takziah kepada keluarga mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang disahkan terhempas di Selat Karimata perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah pada 28 Disember lalu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya mengajak pembaca untuk sama-sama memahami artikel yang dikeluarkan oleh majalah Flight International yang bertarikh 14 – 20 Oktober 2014 yang bertajuk ‘Searching for Answers’.
Tun Mahathir dalam entri blog terbaru beliau mempersoalkan keengganan Boeing menggunakan teknologi 'beacon pencari'.Artikel berkenaan antara lain menyentuh isu berkaitan pemasangan ‘beacon pencari’ yang masih menjadi perdebatan antara dua syarikat pengeluar pesawat terkemuka dunia iaitu Airbus dan Boeing.
Tulis Tun Mahathir, artikel berkenaan menyatakan bahawa tidak seperti syarikat Boeing, pengeluar pesawat jenis Airbus telah bersedia menggunakan sistem data penerbangan dan rakaman suara itu untuk pesawat komersialnya.
Tetapi Boeing yang telah terlebih dahulu memasang alat perakam tersebut kepada sekurang-kurangnya tiga pesawat tenteranya – tidak bersetuju teknologi yang sama digunapakai untuk pengangkutan komersial dengan alasan tidak selamat dan tidak sesuai.
Namun, konsep Airbus membabitkan penghantaran satu daripada dua set data penerbangan dan perakam suara kokpit sekiranya berlaku perlanggaran di udara atau impak dengan darat.
Unit yang digunakan termasuk 'beacon pencari' direkabentuk untuk terapung jika kemalangan itu berlaku di dalam air.
“Cuba bayangkan jika perakam dan 'beacon pencari' ini diguna pakai pada pesawat AirAsia Indonesia atau MH370, pasti kita tak perlu mencari pesawat hingga ke dasar laut.
Saya tidak faham mengapa Boeing menentang penggunaannya?” tanya Tun Mahathir.
Untuk artikel penuh baca di sini.