'Tidurlah Wahai Anakku'
Luahan sayu, Semoga Tenang kau disana... Al-fatihah
Anak saya sakit semenjak lahir. Pengidap Single Ventricle and Pulmonary Atresia (pendek kata masalah jantung).
Selepas lahir, dia terus berjuang untuk hidup. Dua minggu dalam NICU.
Sewaktu usia dua bulan, dia berjuang dalam pembedahan BT shunt. Satu-satunya salur yang dapat menghantar darah dari jantung ke paru-parunya, untuk mendapatkan oksigen.
Di usia 3 bulan, dia dimasukkan ke ICU kerana Lung Infection. Harapan untuk hidup, 50-50 tetapi dia terus kuatkan diri untuk terus hidup.
Sepanjang hidup, dia tidak dapat terlalu aktif. Bila terlalu aktif, dia akan cepat penat dan menjadi kebiruan sebab kekurangan oksigen. Bila dia melihat kanak-kanak sebaya dirinya bermain, berlari, dia hanya mampu melihat dan ketawa sahaja. Kalau dia turut serta, dia memang tidak mampu.
Sehinggalah 20 Mac 2015 yang lalu, 'Ad' telah pun berusia 2 tahun 4 bulan, doktor pakar jantung kanak-kanak memaklumkan kepada kami bahawa salur BT shunt yang dibuat semasa Ad berusia 2 bulan sudah semakin sempit.
Ad pun semakin kurang aktif, kerap mengantuk, semakin kerap penat dan biru.
Ad sepatutnya dijadulkan untuk pembedahan sekali lagi untuk buat Glenn Shunt pada 20 April 2015 akan datang. Semua dah prepare, cuma bersedia untuk pergi je.
Tetapi hari ini, 9 April 2015, Ad telah pergi meninggalkan mama dan papanya sebelum sempat menjalani pembedahan.
Selepas mandi pagi tadi, Ad dah mula sukar bernafas. Tiba-tiba perutnya memulas dan nak berak. Tengah Ad meneran perutnya serta menahan nafas menyebabkan Ad terus menjadi biru dan kejang.
Saya bergegas membawanya ke Normah Medical Specialist yang paling dekat dengan rumah dan tak sampai 5 minit perjalanannya. Bila sampai di situ, mereka scan jantung Ad, BT shunt yang lama sudah tertutup menyebabkan tiada langsung aliran darah ke paru-paru.
30 minit CPR, Ad tak memberikan sebarang respon.
Ad disahkan meninggal.
Cause of Death (COD), Respiratory Distress.
Anak mama Ahadullah Iskandar.
Mama dan papa tahu Ad memang anak yang kuat. Ad dah banyak bertahan dan berjuang untuk bersama mama dan papa selama 2 tahun 4 bulan ni sayang..
Mama dan papa tahu Ad dah penat, sampai masa Ad pergi.
Mama dan papa redha.
Cuma mama dan papa terkilan, Ad pergi sekelip mata tanpa ada sebarang petanda. Baru pagi tadi kita berdua bergurau sayang. Bumbum sama menonton YouTube, gelak ketawa bersama-sama. Ad tak dapat tunggu sampai tarikh pembedahan.
Kalaulah mama tahu Ad akan pergi hari ini, mama takkan lepaskan Ad dari pelukan mama bila Ad tidur malam tadi.
Maafkan mama dan papa jika selama hayat Ad masih ada mama dan papa buat salah silap semasa menjaga Ad.
Allahu rabbi,
Jagakan Ad untuk kami.
Hilangkan semua kesakitan dan kesengsaraannya selama ini.
Tempatkan dia di taman syurga Mu ya Allah.
Terima kasih untuk pinjaman selama 2 tahun 4 bulan ini.
Tidurlah anakku.
Datanglah jumpa mama dalam setiap mimpi-mimpi mama. Mama rindu.
Ahadullah Iskandar Bin Hushaini.
20 November 2012 - 9 April 2015
Terima kasih banyak-banyak untuk semua yang mendoakan pemergian anak syurga saya, yang memberikan sokongan dan dorong supaya kami terus tabah. - Rynna Azlin
Al-Fatihah buat adik Ad...
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.