3 Gambar Bayi Perempuan Masih Bertali Pusat Dibuang Di Kebun Kelapa Sawit
RUNGKUP - Rutin harian seorang pekerja kontrak dikejutkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di kebun kelapa sawit, di Kampung Masri, Batu 21, Sungai Batang, dekat sini, pagi kelmarin.
Bayi perempuan itu ditinggal tanpa sebarang kain dan lebih menyedihkan, bayi perempuan dalam keadaan berlumuran darah selain tali pusat masih melekat bersama uri ditinggalkan di atas plastik.
Bimbang perkara tidak diingini berlaku kepada bayi berkenaan, pekerja kontrak itu terus ke Klinik Kesihatan Selekoh untuk memaklumkan penemuan itu.
Ketua Kampung Sungai Batang, Abd Salim Anuar yang ditemui berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 11.45 pagi kelmarin selepas dihubungi pihak polis Balai Rungkup.
Sejurus kejadian itu, beliau terus ke Klinik Kesihatan Selekoh selepas bayi perempuan itu dibawa oleh kakitangan klinik dan pihak polis hasil aduan pekerja berkenaan di klinik berkenaan.
Abd Salim berkata, kejadian itu adalah pertama kali berlaku di kawasan seliaanya.
Menurutnya, penduduk kampung bersama polis akan membantu mencari individu yang terlibat dalam kes ini.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Teluk Intan, Selva Ratnam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai bayi perempuan itu petang kelmarin.
Menurutnya, sekiranya kesihatan bayi perempuan itu dalam keadaan baik, pihaknya akan mengambil kanak-kanak itu untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini, bayi itu masih dalam pemantauan pihak HTI dan kami akan ambil bayi itu.
“Kami akan tempatkan bayi itu di Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Kami minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 05-6299222 bagi membantu siasatan,” katanya. - SINAR HARIAN
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags