Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah,
Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, berdasarkan fakta-fakta
diumumkan setakat ini, sesiapa jua yang mengambil alih pesawat itu tidak
berniat untuk membunuh diri.
Katanya ini kerana pihak yang
bertanggungjawab nampaknya membuat perancangan teliti dan amat pakar
tentang selok-belok penerbangan serta kedudukan radar termasuk cara
untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan.
'
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa
sahaja yang mengambil alih pesawat Boeing 777-200ER itu berpengalaman
mengendalikan pesawat itu.
"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh
berlaku dalam situasi sebegini, namun saya jangkakan tiada unsur bunuh
diri melibatkan juruterbang pesawat berkenaan," katanya kepada
Bernama.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan
12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang
daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat
itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak
kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai
negara, belum membuahkan hasil.
Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa
seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu
dan menurut data satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa
jam selepas itu.
Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat
itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah
barat laut dan memasuki sama ada koridor utara yang menjangkau lebih
kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian
utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke
bahagian selatan Lautan Hindi.
Operasi mencari dan menyelamat terus
dipergiatkan membabitkan 26 negara antaranya Kazakhstan, Uzbekistan,
Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam,
Thailand, Singapura dan Indonesia .
Dr Saharuddin berkelulusan Doktor
Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di
Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan
(NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti Institut Perubatan,
Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur, dalam bidang
Antropologi sejak 2009.
Berkecimpung sebagai pejuang hak
pengguna selama lima tahun, beliau yang kini berusia 52 tahun itu kerap
ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu melibatkan keselamatan dan
kepenggunaan. - Bernama