LCCT DITUTUP 9 MEI 2014 | KUALA LUMPUR: Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) akan ditutup pada 9 Mei depan bagi menjamin kelancaran pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata operasi KLIA2 akan bermula seperti dijadualkan iaitu pada 2 Mei depan di mana membabitkan empat penerbangan.
Beliau berkata, penerbangan pertama yang akan dikendalikan di KLIA2 adalah Cebu Pacific, Malindo Air, Tiger Airways dan TigerAir Mandala.
Katanya, orang ramai turut diberi peluang untuk melawat KLIA2 menerusi Hari Terbuka apabila ia mula beroperasi pada hari pertama.
"Kita berharap AirAsia juga akan pindah ke KLIA2 dalam minggu itu kerana kami akan menutup LCCT dalam tempoh seminggu selepas itu.
"Kami akan pindahkan semua agensi, Imigresen dan Kastam Diraja Malayasia ke KLIA 2," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pertunjukan Bandar Lapangan Terbang Dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas kos pembinaan KLIA2, Abdul Aziz berkata, ia dijangka tidak akan melebihi anggaran awal iaitu RM4 billion.
Beliau berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih dalam proses melakukan pengiraan kos pembangunan KLIA2.
"Saya percaya ia (kos) dalam lingkungan bajet yang ditetapkan, bagaimanapun masih belum melihat angka terakhir. Seperti yang telah diterangkan oleh MAHB ia masih di bawah RM4 bilion" katanya.
Pada 2009, kos pembinaan KLIA2 dianggarkan dalam lingkungan RM1.7 bilion.
Bagaimanapun, ia meningkat kepada RM4 bilion berikutan langkah pembesaran rancangan pembinaannya iaitu turut membabitkan pemasangan sistem pengurusan bagasi automatik.
KLIA2 dijangka mampu menampung 45 juta penumpang setahun. -Astro Awani