Bermula daripada 1 Jan, cuti hujung minggu Johor telah ditukar daripada
Ahad ke Jumaat, tetapi kini beberapa pihak menyatakan kerajaan negeri
sedang mengkaji untuk menukarkan cuti hujung minggu itu kembali kepada
hari Ahad.
Langkah kerajaan negeri menukar kembali cuti hujung minggu negeri itu
kepada Ahad daripada Jumaat kini sedang heboh diperkatakan oleh kalangan
kakitangan awam di Johor.
Menurut mereka, kerajaan negeri Johor dijangka akan menukar kembali cuti
hujung minggu kepada Ahad sebagaimana yang diamalkan sebelum ini,
bermula 1 Jan tahun depan.
"Saya dimaklumkan kerajaan negeri sedang mengkaji semula untuk menukar
kembali cuti hujung minggu kepada hari Ahad pada tahun depan, selepas
setahun cuti hujung minggu pada hari Jumaat."
"Isu penukaran kembali cuti hujung minggu kepada hari Ahad sedang hangat
diperkatakan dikalangan kakitangan awam di Johor," kata seorang
kakitangan awam negeri kepada MalaysiaGazette hari ini.
Seorang lagi kakitangan agensi kerajaan negeri yang dikenali pula
memberitahu, penukaran semula cuti hujung minggu kepada hari Ahad itu
adalah kerana kesukaran menjalankan urusan perniagaan.
Ini kerana katanya, bank-bank dan syarikat kewangan di Johor tidak
bercuti pada Jumaat dan mengekalkan Ahad sebagai hari cuti mingguan
mereka.
Dengan Jumaat diisytiharkan sebagai cuti hujung minggu bagi Johor bagi
kakitangan awam dan Ahad bagi pihak swasta, hanya ada empat hari untuk
menjalankan urusan di bank-bank.
Keadaan itu telah menimbulkan kesukaran kepada golongan perniagaan yang
terpaksa berurusan dengan kedua-dua pihak iaitu bank dan pejabat
-pejabat kerajaan.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan Iskandar Malaysia menerima kesan
daripada perubahan cuti hujung minggu itu dengan urusan membabitkan
pelaburan asing terutamanya daripada Singapura mengambil masa yang lebih
panjang daripada biasa.
Sultan Johor pada Dis tahun lepas menitahkan cuti hujung minggu bagi
negeri itu ditukar kepada Jumaat mulai 1 Jan tahun ini bagi memudahkan
umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan lebih selesa. -MalaysiaGazette