PERTH: Isyarat getaran dengan frekuensi 37.5 kHz di kawasan carian pesawat penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi yang dikesan kapal peronda China semalam masih belum dapat disahkan setakat ini.
Australia yang juga ketua pasukan pencarian antarabangsa pesawat MH370 kini sedang mempertimbangkan untuk mengerah aset carian ke kawasan tersebut serta meminta China untuk memberikan maklumat lanjut berkenaannya.
Dalam satu kenyataan oleh Agensi Pusat Koordinasi Bersama (JACC) mendakwa, beberapa objek putih juga kelihatan di permukaan lautan kira-kira 90 kilometer dari kawasan yang dikesan.
"Kita sedang mempertimbangkan untuk menghantar RAAF ke kawasan di mana kapal China mengesan bunyi tersebut,” kata Houston merujuk kepada Tentera Udara Diraja Australia.
Terdahulu, kapal dari China mengesan isyarat dari frekuensi pada Sabtu yang dipercayai datang dari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, di ketika harapan dalam misi pencarian itu seolah-olah kian pudar.
Sementara itu, agensi berita negara China, Xinhua , melaporkan pengesan kotak hitam di kapal Haixu 01 menerima isyarat pada frekuensi 37.5kHz , namun Australia memberi amaran bahawa tiada bukti isyarat tersebut ada kaitannya dengan pesawat MH370.
Menurut pakar, pengesan ping yang diguna oleh kapal China beroperasi dengan kedalaman maksimum 600 kaki berbanding dengan pengesan ping yang diguna Australia yang boleh mengesan sehingga kedalaman 20,000 kaki dan jauh dari bunyi bising permukaan.
Xinhua berkata pengesan ping yang digunakan Haixun 01 menerima isyarat di sekitar 25 darjah latitud dan 101 darjah timur.
Sebanyak 10 pesawat tentera, dua pesawat awam dan 13 kapal akan membantu dalam misi pencarian Ahad ini.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) membahagikan kepada tiga kawasan carian berasingan iaitu kira-kira 2,000 kilometer ke utara barat Perth yang berjumlah 216,000 kilometer persegi.
Cuaca di kawasan carian dijangka baik dengan asas awan 2,500 kaki dan penglihatan jelas lebih daripada 10 kilometer.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia terus mengkaji kawasan di mana pesawat itu memasuki air berdasarkan analisis teknikal satelit dan prestasi pesawat yang diluluskan oleh pasukan penyiasatan nahas udara antarabangsa yang terdiri daripada penganalisis dari Malaysia, Amerika Syarikat, UK, China dan Australia. - ASTRO AWANI