PUTRAJAYA 7 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membina sebuah jambatan baharu yang dapat menghubungkan kedua-dua negara berjiran itu.
"Salah satu rancangan jangka masa panjang adalah dengan membina jambatan persahabatan bagi meningkatkan hubungan jalan raya, menambah baik keadaan alam sekitar, sekali gus menjadi simbol persahabatan kedua-dua negara.
"Rancangan ini merupakan rancangan jangka masa panjang dan kedua-dua negara akan mengkaji lebih lanjut tentang inisiatif ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut dibuat kerana kapasiti kenderaan yang melalui Tambak Johor untuk ke negara jiran itu semakin bertambah.
Menurut Najib, pembinaan jambatan tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif baharu yang dirancang, selain untuk mewujudkan kawalan sempadan bersama antara kedua-dua negara berjiran itu.
Beliau berkata, menerusi pendekatan itu, rakyat kedua-dua negara yang hendak memasuki salah sebuah negara hanya perlu melalui sekali pemeriksaan sahaja.
Hsien Loong ketika mengulas perkara sama berkata, rancangan jambatan persahabatan itu telah dibincangkan, namun katanya, tumpuan utama Singapura pada masa ini adalah meningkatkan kemudahan laluan jalan raya antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan untuk membina jambatan yang bakal menjadi simbol ikonik kepada kedua-dua negara itu akan tetap dikaji secara mendalam sebagai salah satu kaedah mengurangkan kesesakan.
Sementara itu, ditanya tentang inisiatif yang diambil oleh Singapura bagi mengurangkan kesesakan ketika memasuki ke negara itu, Hsien Loong berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah biometrik untuk pengguna yang kerap memasuki negara itu.
"Pengguna yang kerap memasuki Singapura hanya perlu menggunakan kaedah biometrik dan hanya perlu mengimbas ibu jari dalam tempoh 10 saat dan semua data dan maklumat akan terpapar. Kita harap 90 hingga 95 peratus pengguna terbabit akan menggunakan kaedah ini," katanya..