Beregu pertama, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan perseorangan kedua, Chong Wei Feng mengakui harapan tinggi diletakkan seluruh Malaysia yang mahu skuad negara menjulang Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun memberikan mereka tekanan sekali gus gagal mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.
Boon Heong-Thien How tewas kepada beregu nombor empat dunia dari Jepun, Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo 21-12, 17-21, 19-21 manakala Wei Feng tunduk kepada Kento Momota 15-21, 17-21 dalam aksi final di Stadium Siri Fort, semalam."Memang tekanan kerana seluruh rakyat Malaysia menyaksikan kami bermain. Malah, keberanian kami juga kurang hari ini (semalam) dan kami terikut-ikut dengan rentak permainan pihak lawan," kata Boon Heong ketika ditemui selepas tamat perlawanan.