Berita Harian hari ini melaporkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia bahawa kerajaan merancang untuk membekalkan komputer netbook secara berperingkat kepada 400,000 guru di seluruh negara.
P ertanyaan saya, untuk apa dibekalkan komputer tersebut? Bagi saya ia projek membazir yang boleh merugikan duit negara? Kenapa saya berkata begitu? Alasannya mudah.i. Sudah ramai guru yang mempunyai laptop peribadi.
ii. Laptop guru lebih ‘canggih’ daripada netbook yang hendak dibekalkan kerajaan.
iii. Netbook sudah ketinggalan zaman kerana spesifikasi yang terhad. Ultrabook adalah lebih sesuai.
iv. Banyak laptop PPSMI yang masih boleh digunakan tetapi dilupus kira kerana tiada penyelenggaraan yang baik.
v. Pembelian netbook ini memerlukan peruntukan yang banyak memandangkan pembelian kerajaan lebih mahal dari harga pasaran.
vi. Saya tidak melihat penggunaan netbook sebagai keutamaan pada guru sekarang.
vii. Saya tidak melihat penggunaan netbook sebagai kriteria untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.
Justeru, saya mencadangkan kerajaan mengkaji terlebih dahulu kesan untung ruginya membekalkan netbook ini sebelum membuat keputusan muktamad.
Pelajarilah pengalaman penggunaan netbook semasa pelaksanaan PPSMI dahulu. Apakah berkesan? Sejauh manakah keberkesanannya?
Saya juga merasakan dari membekalkan netbook, adalah lebih baik para guru diberi peruntukan untuk menyelenggarakan komputer mereka seperti lesen untuk antivirus dan langganan internet.
Dan akhirnya, jikalah kerajaan hendak juga membekalkan netbook kepada para guru, buatlah secara selektif berbanding untuk semua guru.
Semoganya rancangan kerajaan membekalkan netbook kepada para guru ini dapat dinilai semula.
oleh Mohammad Agus Yusoff