Type Here to Get Search Results !

Sabah bersiap sedia hadapi Bencana Alam kesan El-Nino


KERAJAAN SABAH BERSEDIA HADAPI BENCANA ALAM TERMASUK KESAN EL-NINO

KOTA KINABALU, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang bentuk bencana alam termasuk kesan El-Nino yang dijangka melanda kawasan Asia Tenggara pertengahan bulan depan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Yahya yang juga Menteri Petanian dan Industri Makanan Sabah berkata jawatankuasa bencana alam peringkat negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan jawatankuasa yang sama di peringkat daerah dipengerusikan Pegawai Daerah berperanan memantau sebarang kemungkinan.

"Kepada petani dan penternak, mereka perlu mengambil kira perkara yang mungkin berlaku. Kata orang sediakan payung sebelum hujan. Jangan nanti sudah berlaku baru kita terkial-kial untuk mencari jalan atau cara mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bicara Gemilang anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah di sini Khamis.

Beliau berkata jawatankuasa bencana negeri dan daerah sebelum ini telah melaksanakan tugasan mereka dengan baik termasuk dari segi logistik ketika menghadapi bencana alam seperti peristiwa banjir besar yang melanda daerah Beaufort, Tenom, Keningau dan Kota Belud.

Dalam perkembangan lain, Yahya meminta semua agensi kerajaan supaya meneruskan usaha memperjelaskan sebarang isu semasa sama ada yang bersifat tempatan, nasional dan antarabangsa agar difahami dengan baik oleh rakyat.

Kata Yahya kefahaman yang baik terhadap isu semasa seperti berkaitan agama, keselamatan, pendidikan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) serta rasionalisasi subsidi, akan membolehkan rakyat membuat keputusan bijak dan menerima secara rasional dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan.

"Program Wacana Ilmu Negara ini amat dialu-alukan dan perlu pada masa ini ketika kita menghadapi pelbagai cabaran termasuk di peringkat global, dalam negara kita Malaysia dan di Sabah ini.

"Ini (isu) amat baik untuk kita bincang. Melalui program ini, kita juga dapat menerangkan dasar-dasar kerajaan yang tidak difahami atau sengaja tidak (mahu) mengerti atau sengaja diselewengkan untuk kepentingan peribadi dan politik," katanya.
- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies