Type Here to Get Search Results !

Kisah Kahwin ekspres tetap Bahagia buat pasangan ini


Kisah Kahwin ekspres tetap Bahagia

CINTA yang kuat menyatukan pasangan muda ini.

Kalau nak serius dengan seseorang, kebiasaannya akan berkenalan kemudian keluar bersama-sama sebelum bercinta. Selepas itu barulah boleh merancang untuk ke peringkat seterusnya melayari impian berumahtangga dan bergelar suami isteri.

Tapi lain pula ceritanya dengan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia, Asfan Shah dengan isterinya, Ain Sakinah Razali.

Mendengar cerita daripada empunya badan, apa yang boleh disimpulkan, perkahwinan mereka benar-benar ibarat kahwin ekspres.

Manakan tidak, bercinta melalui telefon selama dua bulan. Tidak pernah keluar bersama sebagai pasangan kekasih, tetapi pertama kali perjumpaan terus tali pernikahan disimpul.

Berkongsi cerita tentang kisah itu, menurut Asfan perkenalan mereka pada mulanya melalui adik isterinya sendiri.

“Saya memang kawan baik dengan adik isteri saya dan kebetulan, dia beritahu yang kakaknya sedang bercuti dan mahu saya membawanya berjalan-jalan.

“Jadi kami pun pergilah ke Melaka. Melawat bandar Melaka dan saya pun bawa dia ke gerai burger bakar saya yang terletak di di sana.

“Itulah pertemuan saya yang pertama dengan dia dan ketika itu, memang tidak ada rasa apa-apa pun terhadap dia," jelasnya.

Keesokannya, bermulalah sebuah kisah cinta melalui telefon sehinggalah terbinanya bahtera perkahwinan.

“Hari kedua saya dan adik dia hantar isteri ke lapangan terbang. Ketika itu saya memang tidak tahu dia kerja apa dan yang saya tahu, dia kerja di luar negara. Itu sahaja.



“Ketika itulah kami bertukar-tukar nombor pin Blackberry. Itu pun selepas adiknya yang menyuruh saya minta kerana saya memang tidak akan minta kerana tidak ada apa-apa perasaan pun terhadap dia pada masa itu," katanya.

Hari berlalu, salam perkenalan dimulakan oleh Asfan. Bermulalah sesi suai kenal antara satu sama lain dan hubungan itu tidak terhenti di situ sahaja.

Dari sebulan, berlanjutan ke bulan kedua. Saban hari berhubung biarpun isterinya ketika itu bekerja sebagai pramugari bersama syarikat penerbangan Oman.

“Masuk bulan ketiga, hubungan kami mula serius dan ketika itulah kami bercinta. Tetapi semuanya hanya di dalam telefon sahaja.

“Masa dah bercinta itu, memang banyak duit habis sebab telefon ke luar negara. Bayangkan, RM50 ke RM80 sehari habis untuk telefon sahaja.

“Seterusnya, bila dah empat bulan kenal, kami berbincang untuk bertunang. Ketika itu adalah bincang pasal baju dan sebagainya," jelas Asfan.

Pertemuan pertama yang kekok


Empat bulan perkenalan, akhirnya dua hati di dua buah negara ini berkesempatan untuk bertemu. Kali pertama bertemu sebagai pasangan kekasih.

“Masa itu sebelum Syawal 2012. Kebetulan isteri dapat cuti lima hari dan saya akan ambil dia di lapangan terbang.

“Masa itu memang gugup teruk. Manakan tidak, sebelum itu kami bersayang-sayang di dalam telefon. Kali ini nak bersayang-sayang di depan mata. Memang kekoklah," katanya tertawa.

Pertemuan kali pertama sebagai kekasih itu memang kekok, mereka bagai orang asing. Semua yang dirancangkan bagai serba tidak kena.

“Saya ingat saya sahaja yang kekok. Rupanya isteri saya ketika itu pun rasa sama. Bila kenang balik memang kelakarlah ketika itu," jelasnya.

Perancangan seterusnya adalah untuk bawa bertemu ibu bapa. Hari yang sama, Asfan terus bawa isterinya ke rumah keluarganya di Melaka untuk dinyatakan hajatnya pada ibu bapa.

“Selepas itu keluarga saya berkenalan dengan isteri dan masing-masing dah setuju. Jadi, seterusnya saya nak bawa rombongan keluarga untuk merisik.

“Saya sebenarnya dah kenal lama dengan keluarga isteri sebab saya memang kawan rapat dengan adik dia dan keluarganya pun sudah tahu. Dalam minggu itu juga, persetujuan keluarga kedua-dua pihak dicapai dan kami bernikah. Bayangkan, semuanya dilakukan dengan kadar yang sungguh cepat," jelasnya.

Menurut Ain Sakinah pula, rancangan awalnya bukanlah untuk bernikah, sebaliknya rombongan datang untuk merisik dan bertunang sahaja.

“Lepas itu ayah saya kata, saya ni jenis yang susah dapat cuti dan cadangan nikah gantung dikemukakan.

“Tapi biasalah bila saudara lain semua sudah tahu, kenduri tu jadi kenduri besar juga dan dalam 12 hari persediaan untuk bersanding dibuat. Memang masa itu semua cepat.

“Bila fikir balik, memang pantas keputusan yang kami buat. Tetapi dalam hati saya sebenarnya ketika ada keyakinan yang dialah jodoh saya sebenarnya," katanya.

Pasangan ini akhirnya bernikah 23 Ogos 2012 dan kini dikurniakan seorang anak lelaki, Ali Haytham Shah, setahun.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies