Sudah lebih 110 tahun! Pusara wanita mati beranak ditelan bumi.
Ianya tidak dapat dipastikan sama ada ia cerita dongeng atau tidak, namun kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut itu telah didengar sejak berpuluh tahun yang lalu di kalangan penduduk setempat tentang sebuah kubur lama di tengah-tengah kawasan perumahan di Kampung Kelapa .
P
usara tidak bernama itu dikatakan hampir 110 tahun wujud berikutan satu peristiwa yang dikaitkan dengan hubungan terlarang, zina antara ibu dan anak kandungnya.
Menurut Ketua Kampung Kuala Kubu Bharu, Norazizan berkata, kubur tersebut dipercayai milik seorang wanita yang telah mati sebaik sahaja melahirkan anaknya .
Walau bagaimanapun, katanya terdapat dua cerita yang masih belum terungkai berkaitan bagaimana arwah dua beranak itu boleh dikebumikan di kawasan itu.
“Namun ada cerita yang didengar mungkin arwah tak sempat dikebumikan di tanah kubur Ampang Pecah maka ia dikebumikan di sini, dan sebab mengapa tak sempat tu, masih juga tidak diketahui .
Ada pula cerita yang mengatakan perempuan tu ditelan bumi sebaik bersalin dan tak sempat diselamatkan. Bayi yang dilahirkan katanya hasil hubungan terlarangnya dengan anak kandung sendiri,” katanya.
Cerita Norazizan ini telah dikuatkan lagi menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1904 berkaitan peristiwa kubur tersebut.
Kini, keratan akhbar tersebut berada dalam simpanan Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu).
Menurut laporan akhbar tersebut antara lain telah menyatakan, telah tersebar cerita pelik melalui sumber masyarakat Melayu mengenai seorang wanita di Kuala Kubu secara misteri telah ditelan atau dirantai oleh tanah akibat dosa yang dilakukan dan wanita itu dan ianya sukar dikeluarkan.
Menurut laporan itu lagi, orang ramai yang menyaksikan peristiwa dia ditelan bumi itu berasa simpati dan telah mendirikan atap agar memayunginya daripada kepanasan dan hujan.
Malah, menurut akhbar itu lagi, cerita tersebut telah tersebar luas sehingga penduduk dari Kuala Lumpur sanggup datang ke Kuala Kubu semata-mata untuk menyaksikan lokasi kejadian misteri itu.
“Kubur tu dah dijadikan tempat memuja nombor ekor judi oleh sesetengah penduduk,” katanya kesal.
Katanya, dua batu nisan yang hilang tidak diketahui semenjak ia dijadikan tempat pemujaan.
“Akibat ada orang buat benda-benda haram dan dosa tu, sejak daripada itu berlaku macam-macam kejadian pelik kepada penduduk kampung antaranya gangguan histeria,” katanya.
-Sinar Harian