Kampar: Seorang wanita didakwa memuat naik gambar serta mengemaskini status yang mempunyai unsur menghina dan bersifat perkauman mengenai anggota polis di laman sosial Facebook (FB) selepas dia disaman pada 22 September lalu, di sini, atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.
Individu menggunakan akaun Facebook, Sally Tung Wai Yan, itu menulis dua status dalam bahasa Cina yang bermaksud, “inilah polis Malaysia, pencuri tidak mahu tangkap, tapi mahu duit kopi, tidak dapat wang keluarkan saman, Melayu tidak mahu tangkap, kalau lain kulit tangkap, tidak guna punya Polis dan Kerajaan”.
Perkara itu disedari seorang anggota polis yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal, di sini, selepas dimaklumkan oleh rakan setugasnya apabila status dan gambarnya dimuat naik menerusi akaun terbabit, Selasa lalu.
Ia dipercayai dimuat naik berikutan rasa tidak puas hati individu atau pihak tertentu kerana tindakan anggota terbabit mengeluarkan saman.
Susulan itu, anggota polis berpangkat lans koperal terbabit bertindak membuat laporan di Balai Polis Kampar, di sini, berhubung kenyataan di laman FB berkenaan pada jam 3.20 petang, hari yang sama.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kampar Asisten Superintendan Noor Janihan Nanyan ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada anggota berkenaan berhubung kejadian itu dan kes terbabit diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut.
“Kita tidak dapat mengambil apa-apa tindakan selagi belum mengetahui kesahihan akaun pemilik individu terbabit dan kes ini diserahkan kepada SKMM untuk tindakan lanjut,” katanya.