Baru-baru ini KLIA telah mendapat anugerah Lapangan Terbang Besar terbaik daripada CAPA Asia Pasifik. Tahniah.
Mereka yang terlibat di dalam perancangan awal KLIA sememangnya mempunyai visi yang mantap.Tidak banyak lapangan terbang utama di dunia ini yang mempunyai tanah seluas 10000 hektar di sekelilingnya yang belum dimajukan. Ini sahaja menjadikan prospek KLIA sangat meluas kerana kebanyakan lapangan terbang di negara lain sudah tidak boleh dibesarkan lagi.
Menjelang 2030, lebih 200 lapangan terbang utama di Eropah akan mencapai tahap optimum kapasiti penumpang. Mereka tidak boleh membesarkan lagi lapangan yang sudah sedia padat.
Untuk mencari kawasan baru dan membina lapangan terbang baru pastilah mengambil masa dan kos yang tinggi. Baru-baru ini Terminal 2 London Heathrow menelan belanja RM22.65 billion. Itu baru sebuah terminal, bukannya seluruh lapangan terbang.
Oleh itu keputusan membina KLIA di pinggir bandar adalah tepat.
Mungkin ramai yang kurang gemar untuk memandu sejauh 50km dari pusat bandar ke KLIA. Tetapi di bandar-bandar utama di dunia, lapangan terbang sememangnya jauh daripada pusat bandar.
London Heathrow adalah 35km daripada London. Paris CDG adalah 40km dari kota Paris. Narita Airport adalah 50km dari Tokyo dan Incheon Airport adalah 60 km dari Seoul. Hatta negara sekecil Singapura juga mempunyai lapangan terbang 25 km jauh daripada pusat bandar.
Tetapi yang perlu diambil kira bukannya jarak. Sebaliknya masa yang diambil untuk sampai ke pusat bandar.
Oleh yang demikian dibina sekali ERL. Ini menjadikan perjalanan sejauh 50km hanya mengambil masa 28 minit. Mahal? Jika dibandingkan dengan tren Incheon-Seoul (RM45), Paris CDG-Paris (RM41) dan London Gatwick-London (RM90), tiket ERL hanyalah RM35 dan lebih pantas.
Kisho Kurokawa- arkitek KLIA juga faham akan hal ini. Sebab itu KLIA dibina dengan Aerotren yang menghubungkan terminal utama dengan terminal satelit. Ia bertujuan mempercepatkan urusan memproseskan penumpang.
Begitu effisien pengurusan penumpang sehinggakan KLIA dirasakan sunyi, tidak ramai orang dan 'under-capacity'. Hakikatnya ini adalah lapangan terbang yang mengendalikan 47 juta penumpang setahun- 20 terbanyak di dunia.
Bagaimanapun model bisnes KLIA yang menjadikan penumpang kurang menghabiskan masa di situ menyebabkan pendapatan operator, MAHB terhad.
Syarikat penerbangan tambang murah semakin berkembang. Mereka tidak gemar membayar caj pendaratan, parking dan servis yang tinggi. Bahkan mereka sentiasa mempunyai pilihan untuk menukar lapangan terbang kerana tidak seperti syarikat penerbangan nasional- mereka tidak terikat.
Syarikat penerbangan legasi yang bersaing dengan penerbangan tambang murah juga terpaksa mengurangkan kos operasi dan operator lapangan terbang juga tidak boleh mengenakan caj yang mahal.
Oleh itu lapangan terbang harus menambahkan pendapatan melalui sumber lain.
KLIA2 dibina dengan mengambil kira perkara ini. Berbeza dengan KLIA, penumpang perlu menghabiskan masa selama mungkin di KLIA2.
Maka diperkenalkan konsep 'retail airport' di mana operator lapangan terbang boleh mendapat pendapatan melalui hasil sewaa tapak perniagaan.
Di Asia, masih tidak ada lagi hub penerbangan tambang murah yang benar-benar mempunyai pelbagai syarikat penerbangan. Singapura cuba lakukan perkara yang sama beberapa tahun lepas tetapi mereka tidak punyai penerbangan tambang murah sendiri yang berjaya seperti kita.
Sekarang ini pun sudah ada 7 penerbangan yang beroperasi di KLIA2.
Tidak lama lagi Aerotrain dari KLIA2 ke KLIA akan beroperasi. Ini membolehkan penumpang dari kedua-kedua lapangan terbang transit tanpa perlu daftar keluar lantas merealisasikan idea menjadikan KLIA sebagai hub penerbangan Asia.
Apabila KLIA2 sudah mencapai kapasiti 45 juta penumpang setahun, keseluruhan KLIA akan mempunyai 92 juta setahun- menjadikan KLIA sebagai lapangan terbang paling sibuk di dunia.
Ini belum dikira dengan kapasiti di terminal 3 KLIA yang akan dibina memandangkan KLIA sedia ada sudah terlebih kapasiti.
Mitsui Outlet Park sedang dibina. Taman tema dan pusat perniagaan juga di dalam perancangan.untuk dibina di sekeliling KLIA. Pada masa yang sama Litar F1 Sepang tidak berapa jauh dari KLIA. Berapa kawasan perumahan juga sudah dibuka.
KLIA akan menjadi destinasi dengan sendirinya. Ia bukan sekadar lapangan terbang.
Ini semua boleh dilakukan bukanlah kerana negara lain tidak terfikir akan hal tersebut. Tetapi, sebagaimana yang diceritakan tadi, KLIA adalah antara lapangan terbang yang mempunyai 'bank tanah' yang luas untuk menjadikan kesemua perkara ini realiti.
Tahniah MAHB dan terima kasih arkitek asal KLIA- Tun Dr Mahathir.