Sebentar tadi media-media di Indonesia mula memaparkan visual-visual yang didakwa sebagai penemuan terkini pesawat Air Asia yang hilang. Antara penemuan yang dijumpai ialah serpihan kayu dan juga mayat manusia.
Kementerian Perhubungan Republik Indonesia (KEMENHUB) mengesahkan objek ditemui di Laut Jawa mempunyai kaitan dengan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Laporan yang dipetik daripada DetikNews disahkan oleh Plt Dirjen Perhubungan Udara Kementerian, Djoko Murjatmodjo.
"Sudah dipastikan itu adalah serpihan pesawat. Ada tiga objek yang titik kordinatnya berbeza tadi.
"Infomarsi itu juga selari berdasarkan maklumat yang diberitahu oleh Badan mencari dan menyelamat (BASARNAS) sebentar tadi," kata Djoko.
Djoko berkata, jika warna objek itu adalah putih dan merah adalah dipercayai mempunyai kaitan dengan badan pesawat.
"Tentera Nasional Indonesia akan terbang ke Pengkalan Bun berikutan objek ini berpotensi menjadi petunjuk," kata Djoko.
Sementara itu, mayat yang telah kembung ditemui berhampiran kawasan serpihan pesawat AirAsia QZ8501 mengakhiri tanda tanya nasib pesawat itu yang hilang sejak Ahad lepas.
Pada awalnya pesawat dalam misi pencarian menemui 10 objek mirip pintu pesawat, jaket keselamatan dan juga gelongsor kecemasan dalam lingkungan 10km persegi di sekitar perairan Kalimantan.
Anggota pasukan Badan Mencari Dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia (BASARNAS) dilihat diturunkan dari helikopter untuk mengambil mayat berkenaan yang berupa seorang lelaki.
Ahli keluarga penumpang pesawat QZ8501 akan diterbangkan esok ke lokasi pencarian.
Bagaimanapun, setakat ini dilaporkan hanya satu mayat itu sahaja yang ditemui terapung di kawasan penemuan serpihan itu.
Pesawat Airbus A320-200 dikendalikan oleh syarikat penerbangan AirAsia Indonesia ketika hilang sedang dalam penerbangan ke Singpura dari Surabaya, membawa bersama 162 orang.