Type Here to Get Search Results !

Lara Alana penuh mewah kasih sayang

Gambar Sekitar Majlis Aqiqah Lara Alana Anak Scha AlYahya
Lara Alana mewah kasih sayang

SAAT kaki melangkah masuk ke dalam ruang dewan itu, aroma wangi bunga rampai terus menusuk tajam menerobos ke dalam rongga pernafasan. Dalam cahaya kuning dan putih lampu, pandangan mata pula tertancap kepada dekorasi sebuah dewan kecil umpama laman persandingan mini.

Lantas, laju sahaja anak mata tertarik kepada keindahan dekorasi pentas kecil molek yang di situ terletaknya sebuah katil bayi. Dililit ropol berona putih dan dihampar tilam kecil bayi yang juga berwarna putih. Di sekelilingnya, dihiasi dengan bunga-bungaan segar berona merah jambu dan putih umpama memberi lambang kesucian bagi majlis pada hari itu.
Di atas siling, tergantung mewah nan indah lampu candeliar berwarna ungu memercikkan sinar cahaya di segenap ruang dewan. Digambarkan mewah dan gah, namun hakikatnya suasana majlis aqiqah dan doa kesyukuran buat Lara Alana, anak pasangan selebriti popular tanah air, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari berlangsung dalam keadaan yang sederhana tetapi meriah.
Pada ketika pasangan selebriti yang terkenal dengan jolokan Schawal itu masuk ke dalam dewan sambil puteri kesayangan dikelok manja di sisi, majlis pada hari itu tanpa berlengah terus dilangsungkan.
Didodoi dengan alunan nasyid, zanji dan marhaban, terkadang anak kecil digelar Lara itu sesekali mengesak tangis mungkin dek kerana tidak selesa dengan kelompok hadirin yang ramai dan terasa seakan asing.
Gambar Sekitar Majlis Aqiqah Lara Alana Anak Scha AlYahya
Dihadiri lebih 200 tetamu, majlis yang diadakan di Rooftop Garden, Sime Darby Convention Centre pada Sabtu lalu melengkapi satu lagi fasa permulaan buat puteri kesayangan Scha dan Awal. Sekali gus majlis itu menyaksikan tanggungjawab dan tuntutan sebagai seorang Muslim dalam adat memperkenalkan si permata hati sebagai ahli keluarga baharu.

Pilih 1 Maal Hijrah
Memilih untuk mengadakan sebuah majlis yang ringkas, Scha, 31, dan Awal, 33, tidak mengambil masa yang lama untuk membuat persiapan majlis aqiqah anak sulung mereka yang kini sudah menginjak usia tiga bulan itu.
“Persiapan kami untuk majlis ini biasa-biasa sahaja. Kami cuma ambil masa tiga minggu sahaja untuk menguruskan segalanya kerana kami memilih untuk mengadakan sebuah majlis yang sederhana.
“Sebenarnya pada mulanya dulu kami memang menghadapi masalah memilih tarikh kerana tarikh yang dipilih sebelum ini ramai antara ahli keluarga dan sanak saudara tidak dapat hadir. Maklumlah sekarang musim bercuti, jadi ramailah yang keluar pergi bercuti.
“Akhirnya kami sepakat untuk memilih tarikh hari ini (25 Oktober) kerana pada tarikh ini juga jatuhnya sambutan Maal Hijrah. Kami fikir lebih elok kiranya jika ambil tarikh ini memandangkan ia juga merupakan cuti umum,” ujar Awal menyusun kata membuka bicara.
Belum sedia
Ditanya kesediaan ibu bapa muda itu untuk mendedahkan puteri kesayangan dengan aktiviti periklanan atau duta bagi mana-mana produk, kedua-duanya mempunyai kata sepakat iaitu belum bersedia.
“Kalau diikutkan, secara jujur saya cakap, saya belum bersedia mahu lepaskan Lara untuk terlibat dengan dunia komersial seperti menjadi model iklan atau sebagainya. Kami kira, seawal usia dia yang baru tiga bulan, saya mahu dia menjalani kehidupan seorang bayi seperti biasa. Bukan masanya lagi untuk Lara terlibat dengan kerja-kerja sebegitu.
“Tapi jika suatu hari nanti kami sudah bersedia melibatkan Lara dalam aktiviti seperti itu, ia juga mungkin akan mengambil masa yang lama. Ini kerana saya berasa kasihan jika anak saya perlu bekerja dalam usia yang masih muda," ujar Scha.


Scha bagaimanapun mengaku sudah banyak menerima tawaran daripada pelbagai syarikat produk yang mahu menjadikan Lara sebagai duta mereka. Bagaimanapun, sehingga kini mereka masih belum membuat sebarang keputusan. Namun kata Scha, insya-Allah semuanya tidak akan ada masalah bergantung kepada keadaan nanti.
“Cuma, pada usia dia masih bayi begini, kami sepakat hanya memilih mana-mana aktiviti yang tidak membebankan dan ringan-ringan sahaja buat Lara,” ujar Scha dengan lebih lanjut.
Lara dimewahkan orang luar
Mengulas mengenai persepsi umum yang sering mengatakan mereka melimpahkan kemewahan kepada Lara sejak kecil, ternyata Scha dan Awal tidak mudah melatah.
Mengakui itu semua merupakan suatu tanggungjawab dalam melengkapi hidup puteri sulung mereka itu, pasangan tersebut memberitahu sentiasa mempunyai batasan dalam setiap tindakan mereka termasuk memberi kemewahan kepada Lara.
Membuka cerita, pada awal kelahiran Lara beberapa bulan dahulu, ada sahaja bingkisan hadiah yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk menerima hadiah sebuah kereta mainan mewah berjenama BMW, pasangan ini memberitahu mereka tidak menolak rezeki yang diterima oleh Lara.
Awal mengakui Lara banyak ‘dimewahkan’ orang luar bukan daripada mereka sendiri.
“Itu belum kira dengan hadiah pakaian yang diberi oleh rakan-rakan dan ahli keluarga. Jika dikira dengan anggaran kasar, Lara sekarang sudah ada lebih 200 helai pakaian. Semuanya hasil pemberian orang.
“Bukan kami mahu mewahkan atau manjakan dia, cuma pada asalnya, saya sendiri pun pernah berasa hidup susah sebelum ini. Kami hanya mahu seimbangkan fasa susah dan senang dalam hidup Lara.
“Kami mahu Lara faham erti susah dan senang itu macam mana. Suatu hari nanti, kami mahu dia tahu tidak semua benda yang dia inginkan, dia akan dapat. Apa yang dia mahu, saya mahu dia usaha sendiri untuk mendapatkannya.
“Selagi mampu, selagi itulah saya boleh bagi apa sahaja kepada Lara. Walaupun orang lihat semua itu umpama terlalu manjakan dia tetapi kepada siapa lagi saya mahu habiskan wang ringgit jika bukan kepada anak sendiri,” seloroh pengacara rancangan hiburan Melodi itu bersahaja. KOSMO

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies