Type Here to Get Search Results !

Solat Sunat: Senarai Lengkap Panduan Solat-Solat Sunat

Ini adalah senarai lengkap jenis-jenis solat sunat.


Ini adalah senarai lengkap jenis-jenis solat sunat.

Panduan ini bertujuan memudahkan anda memahami dengan lebih lanjut mengenai solat sunat dan jenis-jenisnya.

Semoga panduan ini membantu anda.

Maksud Solat Sunat

Solat sunat disebut juga solat Nawafil atau Tatawwu’ iaitu solat yang dilakukan secara sukarela.

Ia dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meraih kasih sayangNya.

Orang yang mengerjakannya dengan ikhlas lebih dikasihi dan diberi lebih perhatian oleh Allah SWT berbanding orang yang hanya mengerjakan solat fardu semata-mata.

Pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat sangat cemburu dan berasa iri hati melihat baginda banyak melakukan amalan sunat.

Maka mereka turut sama berlumba-lumba melakukannya.

Solat sunat mempunyai fadilat yang tersendiri namun hakikatnya disembunyikan oleh Allah SWT.

Sememangnya digalakkan kepada golongan yang beriman agar mengerjakan amalan sunat khususnya solat sunat.

InsyaaAllah mereka akan Berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat jika melakukannya dengan rasa khusyuk.

“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solat mereka

— Surah al-Mukminun 1-2

Hukum Solat Sunat

Hukum mengerjakan solat sunat adalah mendapat pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Kelebihan Solat Sunat

Kelebihan mengerjakannya solat sunat adalah:

1. Menambah kesempurnaan solat fardu
2. Meningkatkan iman
3. Mendekatkan dirinya dengan Allah.
4. Menampung kekurangan dalam solat fardu.
5. Memperolehi ketenangan diri dan perasaan.
6. Sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah.
7. Mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah.

Senarai Solat Sunat

Kesemua sembahyang sunat terbahagi kepada 2 jenis iaitu;

1. Solat-solat sunat Mu’akkad (digalakkan)
2. Solat-solat sunat Ghairu Mu’akkad. (tidak diberatkan).

Sembahyang sunat juga terbahagi kepada dua, iaitu boleh dilakukan secara berjemaah atau secara bersendirian.

Solat sunat yang dilakukan secara berjemaah

Berikut adalah senarai solat sunat yang afdhal dilakukan berjemaah:

1. Solat Tarawih
2. Solat Raya Aidilfitri
3. Solat Raya Aidiadha
4. Solat Minta Hujan (Istisqa’)
5. Solat Gerhana Matahari dan Bulan
6. Solat Witir

Solat sunat yang TIDAK dilakukan secara berjemaah

Berikut adalah senarai solat sunat yang afdhal dilakukan bersendirian:

1. Solat Rawatib (mengiringi solat fardu)
2. Solat Tahiyyatul Masjid
3. Solat Tahajjud
4. Solat Dhuha
5. Solat Istikharah
6. Solat Isyraq
7. Solat Awwabin
8. Solat Wuduk
9. Solat Taubat
10. Solat Hajat
11. Sembahyang Sunat Ihram
12. Sembahyang Sunat Tawaf
13. Sembahyang Sunat Musafir
14. Solat Mutlak
15. Solat Tasbih

Waktu Yang Diharamkan Solat Sunat

Bilakah waktu yang diharamkan sembahyang sunat?

Waktu yang diharamkan sembahyang sunat yang juga dikenali sebagai waktu tahrim adalah seperti berikut:

- Sesudah solat subuh
- Ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit.
- Ketika rembang iaitu matahari tegak di atas kepala.
- Ketika matahari hampir terbenam.
- Sesudah solat asar.


Solat yang diharamkan ini ialah solat yang tidak bersebab iaitu sembahyang sunat mutlak dan solat yang sebabnya datang terkemudian seperti solat istikharah, solat musafir dan solat Ihram.

Manakala solat yang bersebab seperti solat qada, solat wuduk, solat Tahiyyatul Masjid, solat tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur tidak diharamkan.

Panduan lengkap mengenai pembahagian waktu solat boleh dibaca pada pautan ini: Waktu Haram Solat (Panduan Lengkap Pembahagian Waktu Solat)

Kelebihan Mengerjakan Sembahyang Sunat


Menurut hadis-hadis Rasulullah SAW, setengah-setengah sembahyang sunat itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri, bukan sahaja dari segi ganjarannya tetapi juga fadhilat, hikmah dan faedahnya.

- Misalnya orang yang mengamalkan solat Tahajjud ditengah malam, ia bakal dikurniakan ketetapan iman, dimurahkan rezeki, di samping dipercayai dan dihormati oleh orang ramai serta doanya dimakbulkan Allah SWT.

- Begitu juga mereka yang mengamalkan sembahyang sunat Dhuha, rezekinya tidak putus dan dimudahkan segala urusannya.

- Orang yang mengerjakan solat Tarawih di Bulan Ramadhan pula diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

- Orang yang mengamalkan sembahyang sunat Isyraq pula dikurniakan pahala seperti pahala Haji dan Umrah. Dan bergitulah pada solat-solat lain, ada keistimewaan yang tersendiri.

Penutup

Perlu diingatkan kepada pembaca budiman yang cintakan kepada amalan kebaikan dan mengerjakan ibadah sunat ini bahawa tidak semua solat sunat yang dinyatakan dalam panduan ini diambil ataupun perbuatan daripada sunnah Nabi kita yang mulia, tetapi dirujuk hasil daripada amalan ulama dan kekasih Allah.

Mungkin tidak jelas mengapa dinamakan dengan solat-solat sunat tertentu, tetapi kebaikan yang dirasakan para ulama , dengan menyusun secara sistematik amalan sunat tersebut, dapat memudahkan orang awam bahkan bersungguh-sungguh menambah amalan sunat mereka, InsyaaAllah.

Sabda Baginda SAW:

Perbanyakkanlah bersujud, kerana tidaklah kamu bersujud (walaupun) sekali, kecuali Allah akan mengangkat satu darjat untukmu dan menghapus satu kesalahan darimu”

— Hadis Riwayat Muslim

Kongsikan artikel ini:


***Jangan lupa langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies