Pada Mei tahun itu (1997), saya mengambil keputusan untuk bercuti selama dua bulan dan menyerahkan tanggungjawab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Saya menganggap ini sebagai satu peluang baik untuk memerhati bagaimana beliau menjalankan tugas kerana saya sudah pun berfikir untuk bersara pada tahun berikutnya. Saya mahu pastikan yang apabila Anwar mengambil alih, beliau mampu mentadbir negara dengan baik.
Ketika berada di Bledisloe dalam daerah Cotswolds, England, saya
menerima berita mengenai serangan ke atas baht Thailand oleh peniaga
mata wang. Apa yang berlaku adalah ahli perniagaan Thai telah meminjam
sejumlah besar mata wang asing pada kadar faedah yang rendah berbanding
pinjaman dalam mata wang baht.
Mereka boleh membuat keuntungan segera daripada perbezaan dua kadar
faedah itu dengan syarat nilai baht stabil. Peniaga mata wang
antarabangsa adalah orang yang mencari keuntungan dengan memerhati dan
mengambil kesempatan daripada ketidakwajaran dan kelemahan seperti yang
berlaku di Thailand ketika itu. Ia diibarat pucuk dicita ulam mendatang
kepada kegiatan mereka.
Mereka menyebarkan berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan
pertumbuhan ekonomi negara itu mustahil dapat dipertahankan. Mereka
kemudian menjual sejumlah besar baht menyebabkan nilainya merosot
berbanding dolar Amerika. Kejatuhan nilai baht menyebabkan orang Thai
yang meminjam dolar menghadapi kesulitan.
Mereka terpaksa mendapatkan lebih banyak baht bagi membayar balik
pinjaman mata wang asing mereka kerana kalau keuntungan perniagaan
mereka tidak mencukupi, mereka mungkin tidak dapat membayar balik
pinjaman.
Sekiranya mereka gagal membayar balik hutang maka terbukti benarlah dakwaan peniaga mata wang bahawa ekonomi Thai lemah.
Kemudian mereka melambakkan lebih banyak baht menyebabkan nilainya merudum lagi. Maka semakin ramailah orang Thai yang meminjam mata wang asing gagal membayar balik hutang mereka. Sementara itu, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah mereka tidak ada kaitan langsung dengan krisis berkenaan. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar bertindak balas. Hakikatnya, merekalah yang mencetuskan malapetaka itu.
Kitaran tindakan kejam (vicious cycle) ini pantas merebak. Lebih teruk
nilai baht menyusut, lebih ramai peminjam yang gagal membayar balik
hutang dan semakin lemah pula ekonomi Thailand.
Kerajaan Thai cuba membeli baht bagi mempertahankan nilainya dengan
menggunakan rizab dolar. Bagaimanapun, peniaga mata wang nampaknya
memiliki bekalan baht yang tidak terbatas untuk terus dilambakkan dalam
pasaran.
Akhirnya, kerajaan Thai dibebani rizab baht yang banyak, tetapi bernilai
rendah manakala simpanan mata wang asingnya merosot teruk. Ini
mencetuskan satu lagi pusingan penjualan baht apabila ia menjadi lebih
lemah akibat tanggapan bahawa ia tidak disokong oleh rizab mata wang
asing yang secukupnya.
Apabila saya pulang daripada bercuti pada bulan Ogos, di Thailand sangat
teruk. Kita mengambil keputusan untuk meminjamkan mata wang utama bagi
memperkuatkan rizab antarabangsanya, tetapi tidak berhasil. Nilai baht
terus jatuh.
Kewangan Malaysia berada dalam keadaan baik pada masa itu kerana
kerajaan dan peniaga tidak perlu meminjam dengan banyak mata wang asing.
Kadar faedah kita sentiasa rendah dan pinjaman mata wang asing tidak
akan memberikan apa-apa kelebihan. Rizab mata wang asing Bank Negara
juga mencukupi, setidak-tidaknya cukup untuk menyokong ringgit kalau
diserang. Namun, itu hanyalah andaian.
Kita juga tidak membuatkan diri kita terdedah seperti orang Thai dengan
meminjam mata wang asing dan berurus niaga dengan peniaga mata wang,
jadi apa yang harus kita bimbangkan?
Kemudian kita mula mendengar mengenai jangkitan kewangan, iaitu
bagaimana masalah jiran kita mungkin menjangkiti kita. Walaupun ekonomi
dan kewangan kita nampak sihat, ringgit mungkin akan diserang juga.
Kalau peniaga mata wang mencetuskan kehilangan keyakinan terhadap
Malaysia, nilai ringgit akan turut jatuh. Saya langsung tidak faham
mengapa hal seperti ini harus berlaku, tetapi pakar ekonomi pasti ia
akan terjadi.
Mereka betul. Peniaga mata wang mula menjual ringgit secara
besar-besaran menyebabkan nilainya merosot. Sebelum serangan itu bermula
pada pertengahan 1997, kadar mata wang kita ialah RM2.50 bagi satu
dolar Amerika. Bagaimanapun, menjelang hujung tahun nilai ringgit
tinggal separuh sahaja. Kita tidak tahu siapa yang menjual ringgit atau
kepada siapa mereka menjualnya.
Saya diberitahu mengenai seorang lelaki bernama George Soros yang pernah
menyerang paun British dan lira Itali. Kedua-dua buah negara itu
menghadapi saat genting mempertahankan mata wang mereka yang disusutkan
nilainya secara paksa.
Tanpa mengetahui peniaga mana yang terbabit, saya mengandaikan bahawa
Soros adalah salah seorang daripadanya. Tidak kira siapa mereka, saya
amat marah.
Bagaimanakah orang luar boleh dengan sewenang-wenangnya memiskinkan
negara dan rakyat kita? Bagaimanakah mereka tergamak berbuat demikian
secara sedar dan sengaja? Sekalipun itu bukan tujuan utama mereka,
mengapakah mereka memilih untuk menjahanamkan kita sebagai produk
sampingan strategi perniagaan mata wang mereka? Semua ini tidak masuk
akal kepada saya, sama ada dari segi ekonomi mahupun moral.
Rakyat Malaysia, khususnya golongan peniaga mula merasai kesan penurunan
nilai ringgit. Pengimport misalnya, tidak dapat mengumpulkan cukup
ringgit untuk membeli dolar yang mereka perlukan bagi membayar kos
barangan yang dipesan daripada pembekal asing. Akibat kekurangan wang,
mereka gagal membayar balik hutang.
Rakyat Malaysia yang gemar ke luar negara pula mendapati kos perjalanan
mereka terlalu mahal. Eksport kita biasanya menggunakan dolar. Jadi,
dengan kenaikan nilai dolar kita sepatutnya memperoleh lebih banyak mata
wang ringgit daripada eksport.
Pembeli asing pula mahu membayar harga yang lebih rendah untuk eksport
kita. Mereka mendakwa kos pengeluaran kita telah berkurangan kerana
nilai ringgit merosot. Apa yang mereka tidak sebut adalah, akibat
kenaikan nilai dolar maka bahan mentah, komponen dan barangan modal
(capital goods) yang kita import menjadi lebih mahal.
Kejatuhan nilai ringgit tidak menjadikan kita lebih berdaya saing,
terutama jika dibandingkan dengan jiran kita yang nilai mata wang mereka
juga jatuh.
Kita berasa tidak berdaya apabila nilai ringgit terus merosot dan
ekonomi menuju ke arah kemelesetan. Sebelum itu, selama hampir 10 tahun
berturut-turut, ekonomi kita berkembang pada kadar lapan peratus
setahun.
Kini, kita berdepan dengan kemungkinan pertumbuhan negatif. Saya tidak
boleh berkata apa-apa mengenai peniaga mata wang – setiap kali saya
membuat kenyataan terbuka, nilai ringgit jatuh lagi.
Pada 17 Jun 1997, sebelum serangan ke atas mata wang Asia bermula,
Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa atau International
Monetary Fund (IMF) waktu itu, Michael Camdessus memuji Gabenor Bank
Negara kerana pengurusan ekonomi dan kewangan Malaysia yang baik.
Pujian itu dibuatnya pada Majlis Hal Ehwal Ekonomi Dunia, Los Angeles.
Katanya: “Malaysia adalah negara contoh di mana pihak berkuasanya sedar
mengenai cabaran menguruskan tekanan akibat pertumbuhan ekonomi yang
tinggi dan mengekalkan sistem kewangan yang sihat di tengah-tengah
pengaliran masuk modal yang banyak dan pasaran hartanah berkembang
pesat.”
Inflasi, kata beliau, adalah rendah dan tukaran ringgit kekal pada kadar
RM2.50 kepada AS$1 untuk jangka masa yang lama. Ringgit, tambah beliau
lagi, adalah mata wang yang benar-benar kukuh yang mencerminkan
kemantapan kewangan Malaysia.
Namun, apabila serangan ke atas mata wang Asia berlaku, orang yang sama
berkata ekonomi kita terlalu panas dan ini menyebabkan mata wang kita
merudum diserang oleh peniaga mata wang. Saya tidak percaya yang nilai
ringgit susut kerana ekonomi kita lemah atau kerana pasaran hilang
keyakinan terhadap Malaysia.
Saya membeli beberapa buah buku mengenai perniagaan mata wang untuk
lebih memahami mekanismenya. Saya yakin punca kejatuhan ringgit adalah
dagangan mata wang bukannya ekonomi atau mata wang kita.
Saya pernah bertemu dengan Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya
seorang yang baik. Anwar yang ketika itu adalah Menteri Kewangan dan
Timbalan Perdana Menteri lebih kerap berjumpa beliau.
Saya meminta Anwar merayu kepada Camdessus supaya berusaha menghentikan
dagangan mata wang. Saya berkata, kegiatan itu tidak perlu dan
merosakkan ekonomi negara membangun. Saya tidak tahu sama ada Anwar
menyatakan atau tidak hal itu kepada Camdessus, tetapi tidak ada usaha
diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.
Bagi saya, mendagangkan mata wang seolah-olah ia satu barangan adalah
tidak masuk akal sama sekali. Kopi, gula, getah dan seumpamanya adalah
barangan sebenar dan mempunyai kegunaan yang sahih, tetapi mata wang
tidak mempunyai nilai secara sendiri. Ini adalah perantara bagi
mendapatkan komoditi sebenar. Ia tidak boleh digunakan dengan cara lain
dan tidak boleh dimakan.
Kita bukan lagi berada pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) di mana
ekonomi Eropah tidak mempunyai sebarang mata wang yang diyakini. Ketika
itu, peniaga-peniaga di pasar Perancis menggunakan lada hitam dari Asia
Tenggara sebagai mata wang dan pertukaran barang. Hari ini, kita guna
lada hitam dan rempah ratus untuk menambah kesedapan makanan dan kita
guna wang untuk membeli-belah.
Saya teringat pernah membaca mengenai orang Brazil mencampakkan kopi
keluaran mereka ke dalam laut sewaktu bekalan bahan itu berlebihan dan
harganya murah. Ia bertujuan untuk mewujudkan kekurangan bekalan dan
dengan itu dapat menaikkan harganya.
Bagaimanapun, apakah kita perlu mencampak atau membakar wang untuk
menaikkan nilainya? Dalam hal mata wang, keadaan sebenar yang berlaku
adalah lebih teruk kerana wujud lebih banyak wang dalam edaran
berbanding yang diterbitkan oleh bank pusat dan lembaga mata wang.
Bekalan yang berlebihan itu berlaku kerana bukan mata wang sahaja
digunakan untuk jual beli, tetapi juga cek, kad kredit dan pemindahan
elektronik. Jumlah yang diwakili oleh instrumen tersebut pastinya
melebihi jumlah mata wang kertas yang dikeluarkan dan berada dalam
edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar bentuk menjadi maya (virtual).
Apabila menoleh ke belakang sekarang, jelaslah saya menerima secara
literal klise ekonomi, iaitu wang adalah darah daging kepada sistem
kewangan dan ekonomi.
Sebagai seorang doktor, saya tahu tentang wujudnya sejumlah darah yang
berpusing dalam badan seseorang pada setiap masa (walaupun kadangkala ia
terpaksa ditambah melalui pemindahan darah).
Bagaimanapun, saya belajar untuk tidak mengguna pakai kiasan itu secara
literal dalam hubungannya dengan ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana
wujud lebih banyak hutang daripada jumlah wang dalam edaran bagi
menyokong dan menyukatnya. Cara pakar ekonomi berfikir berbeza daripada
doktor. Bagi mereka, dua campur dua kadangkala boleh menjadi lebih
daripada empat.
Setelah Amerika Syarikat muncul daripada Perang Dunia Kedua sebagai
kuasa tentera dan ekonomi dominan, dunia menerima dolarnya sebagai mata
wang rasmi bagi perdagangan antarabangsa dan juga sebagai mata wang
rizab.
Perjanjian Bretton Woods (1) telah menetapkan nilai dolar pada kadar
AS$35 bagi setiap auns emas. Kemudian, semua negara menetapkan nilai
mata wang mereka berdasarkan nilai dolar yang pada asasnya bermakna
nilai emas.
Ekonomi dunia selepas perang kembali pulih dalam jangka masa peraturan
itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, apabila pada 1971, Amerika keluar
daripada piawaian emas, umumnya bagi membiayai kos perbelanjaan Perang
Vietnam yang bertimbun, maka kedudukan mata wang dunia menjadi tidak
stabil. Kuasa pasaran kini menentukan kadar tukaran mata wang dan
kebanyakannya “terapung” dalam hubungan antara satu sama lain.
Bagi saya, tindakan ini merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan
negara terdedah kepada kezaliman pasaran serta ketamakan manusia. Orang
tamak tidak akan peduli tentang kebajikan orang lain, dan pastinya juga
tidak peka kepada keperluan negara membangun. Mereka akan menjahanamkan
mana-mana negara dan memiskinkan penduduknya atas nama keuntungan.
Kita terpaksa menerima keadaan itu walaupun kita tahu mekanisme dan
kuasa pasaran boleh dimanipulasikan. Ia tidak mengambil masa yang lama
bagi spekulator untuk mula menyalahgunakan sistem berkenaan. Sebelum
itu, mereka telah mencipta kaedah jualan singkat komoditi dan saham.
Kini, mereka mencipta pula jualan singkat mata wang.
Mereka mengaut keuntungan besar dengan membuatkan negara muflis,
terutama negara membangun. Tindakan mereka ini jelas satu pembunuhan
kewangan. Mereka menubuhkan dana lindung nilai atau hedge fund dan
mempelawa golongan kaya untuk mencarum. Umumnya, pulangan yang diterima
jauh lebih besar daripada pelaburan lain, tetapi operasi dana itu tidak
menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan oleh pasaran atau orang ramai.
Paling tidak pun tindakan yang boleh diambil adalah mengawal selia
kegiatan tersebut, tetapi masalahnya orang yang menuntut ketelusan bagi
setiap urusniaga dan rancangan orang lain itu sendiri yang membenarkan
operasi dana diselubungi misteri. Bukankah pelabur serius tidak akan
sanggup mengambil risiko ke atas wang mereka dalam kegiatan yang penuh
rahsia?
Namun, pengendalian dana tersebut terus dibenarkan menjadi satu misteri.
Siapakah peniaga itu? Daripada manakah mereka memperoleh modal? Berapa
banyak mereka meminjam? Kepada siapa mereka menjualnya dan siapa yang
membeli mata wang yang mereka jual itu?
Kita tidak tahu jawapan kepada semua soalan ini. Dana itu boleh
diniagakan sehingga 20 kali ganda modalnya. Bagi pengurus tabung ini,
perkara paling penting dalam ekonomi adalah perluasan hutang yang jauh
melebihi bekalan mata wang sehingga tidak ada kaitan lagi antara
kedua-duanya. Kesan operasi mereka mengakibatkan kebinasaan.
Camdessus adalah orang Perancis, dan saya dengar beliau bersahabat
dengan Presiden Chirac. Jadi, disebabkan saya kenal baik dengan Chirac
maka saya menulis kepada beliau mengenai penjarahan oleh peniaga mata
wang dan saya meminta beliau bercakap dengan Camdessus agar membantu
menghentikan kegiatan itu.
Kemudian, sewaktu Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau
Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM) di Edinburgh, Scotland
pada 1997, saya bertemu Tony Blair yang baru sahaja menjadi Perdana
Menteri Britain bagi membincangkan perkara itu. Saya menjelaskan dengan
panjang lebar kesan mata wang dan meminta beliau membawa perkara itu
kepada IMF. Bagaimanapun, segala usaha saya di peringkat itu tidak
menghasilkan apa-apa.
Sebelum itu, Malaysia memperoleh sedikit pengalaman dalam perniagaan
mata wang. Kita mengambil bahagian dalam kegiatan itu bagi memastikan
nilai rizab antarabangsa kita tidak susut akibat naik turun nilai mata
wang yang kita simpan.
Ketika itu kita hanya berurusan dengan menggunakan mata wang
negara-negara maju sahaja. Seperti mana orang lain, kita juga membuat
spekulasi, tetapi tidak memanipulasi. Apa yang kita lakukan adalah
memperincikan risiko yang kita ambil, tetapi apabila salah satu
spekulasi kita songsang, kita telah kehilangan sejumlah besar wang.
Selepas pengalaman itu, kita keluar daripada perniagaan mata wang.
Pada September 1997, saya dijemput berucap pada mesyuarat tahunan Bank
Dunia dan IMF di Hong Kong. Saya mengambil kesempatan membelasah peniaga
mata wang dengan menuduh mereka telah memiskinkan lagi negara-negara
yang sedia miskin di dunia. Saya menyebut nama Soros sebagai salah
seorang peniaga yang memanipulasi mata wang negara-negara Asia Tenggara
dan menggangu gugat pembangunan mereka.
Hari berikutnya, Anwar berucap pada mesyuarat yang sama. Ketika itu,
saya sudah berlepas ke Sabah dan beliau menelefon saya. Nada suaranya
seperti orang marah. Beliau memberitahu saya bahawa ucapan saya
menyebabkan nilai ringgit bertambah susut, cuma beliau tidak memberitahu
saya agar jangan bercakap lagi. Namun, saya terus mengkritik IMF dan
peniaga mata wang.
Dalam satu perjumpaan di Santiago, Chile, saya mengulangi kutukan ke
atas mereka dan sekali lagi nilai ringgit jatuh. Perkembangan itu
membuktikan kepada saya bahawa peniaga mata wang adalah punca yang
menekan turun nilai ringgit.
Ia tidak mungkin disebabkan oleh reaksi pasaran kerana tindak balasnya
begitu pantas. Ini juga bukan disebabkan persetujuan am pasaran, tetapi
kerja beberapa pemain utama yang mempunyai pengaruh besar terhadap
pasaran. Dan atas alasan mereka yang tersendiri, saya mendapati
sesetengah orang sengaja cuba menyekat saya daripada bercakap mengenai
peniaga mata wang.
Di dalam negara, Anwar memulakan apa yang dikenali sebagai “penyelesaian
IMF tanpa IMF.” Pada dasarnya, kita tidak dilanda masalah ekonomi yang
teruk. Kita tidak perlu meminjam daripada IMF bagi melangsaikan hutang
luar kerana kita tidak banyak berhutang. Antara hutang yang ada masih
belum sampai masanya untuk dibayar balik. Hutang yang telah sampai
masanya untuk dibayar balik pula sudah pun kita langsaikan.
Namun, sama ada kita perlu meminjam daripada IMF atau tidak, Anwar
berpendapat bahawa Malaysia perlu menerima nasihat IMF. Beliau percaya
bahawa untuk mengekalkan keyakinan antarabangsa terhadap pengurusan
ekonomi kita, kita perlu melakukan apa yang diberitahu oleh mereka dan
menguruskan ekonomi kita mengikut cara yang mereka kehendaki.
Anwar berpendapat yang ubat IMF adalah baik untuk kita dan akan membantu
kita pulih daripada penyakit antarabangsa walaupun kita sebenarnya
belum lagi jatuh sakit. Jadi, beliau menaikkan kadar faedah dan memotong
perbelanjaan kerajaan.
Saya memberi amaran kepada Anwar yang tindakannya itu mungkin
menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang diperlukan bagi membayar gaji
kakitangan awam.
Beliau juga cuba memendekkan tempoh ingkar pembayaran balik hutang
daripada enam bulan kepada tiga sebelum mengisytiharkannya sebagai
hutang lapuk. Ini sekaligus menaikkan nisbah hutang lapuk bank dan
menyebabkan ramai peminjam muflis. Perniagaan merosot. Penyakit yang
kita cuba elakkan, muncul.
Ubat IMF gagal menghalang penyakit itu, sebaliknya menjadi punca
penyakit. Dalam pada itu pun, Anwar tetap meneruskan dasar pro-IMF
beliau.
Ekonomi kita jelas menuju ke arah kemelesetan. Banyak syarikat muflis
manakala yang lain gagal melangsaikan hutang bank, lebih-lebih lagi
selepas Anwar memendekkan tempoh ingkar bayar hutang daripada enam bulan
kepada tiga dan menaikkan kadar faedah kepada 12 peratus.
Kita memutuskan supaya ditubuhkan sebuah badan operasi seperti Majlis
Gerakan Negara yang ditubuhkan untuk menangani kesan rusuhan kaum pada
1969. Bagi mengurangkan perbalahan politik maka kita menjemput semua
Ketua Menteri dan Menteri Besar, termasuk daripada PAS untuk
menganggotai sebuah badan yang kita panggil Majlis Tindakan Ekonomi
Negara (MTEN) (2). Pemimpin kesatuan sekerja dan perniagaan serta ketua
badan pemikir juga diajak bersama.
Dengan itu, kita dapat menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi
oleh negara dan mendengar pandangan mereka mengenai cara menanganinya.
Bagaimanapun, disebabkan bilangan ahli yang ramai maka Majlis itu tidak
dapat bermesyuarat lebih kerap. Jadi, saya memutuskan supaya diwujudkan
sebuah panel penasihat kecil untuk memantau perkembangan, di samping
mencadangkan cara mengatasinya.
Ia perlu disokong oleh keseluruhan Kabinet walaupun hanya sebilangan
Menteri sahaja yang menganggotainya. Mujurlah Kabinet tidak
mempersoalkan bidang kuasa atau syarat-syarat penubuhan badan yang
berpengaruh itu.
Anggota panel penasihat termasuklah Anwar; Datuk Mustapa Mohamed, iaitu
seorang ahli ekonomi yang dihormati dan kini berkhidmat sebagai Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim
Zainuddin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Ketua
Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Samsuddin Hitam; Timbalan
Gabenor Bank Negara, Datuk Fong Weng Phak (entah apa sebabnya, Gabenor
tidak pernah menghadiri mesyuarat kami); Ketua Unit Perancangan Ekonomi,
Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman; Oh Siew Nam, seorang eksekutif sektor
swasta yang arif mengenai perbankan dan pasaran kewangan serta Ketua
Pengarah ISIS, Tan Sri Dr Noordin Sopiee.
Panel penasihat kecil itu bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga jam
setiap pagi di pejabat saya. Kami meneliti semua perangkaan mengenai
ekonomi dan mentauliahkan penyelidikan berhubung sebarang isu yang kami
rasa mungkin mempengaruhi prestasi ekonomi atau prospek negara.
Kami memanggil pakar bagi memberi penerangan dan membuat cadangan
mengenai perkembangan semasa. Kami mendengar banyak taklimat dan sering
membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan.
Mujurlah kita tidak mengalami ketegangan sosial sewaktu krisis kewangan.
Rakyat Malaysia mungkin telah terjejas teruk akibat krisis tersebut,
tetapi keganasan bukanlah tindak balas mereka. Pada masa yang sama, kita
sedang membuat persiapan akhir bagi Sukan Komanwel yang akan diadakan
pada tahun berikutnya, jadi, kita tidak mampu untuk menghadapi sebarang
bentuk ketidakstabilan.
Sambil menangani krisis itu, saya meneruskan tugas ke luar negara untuk
melaksanakan usaha ekonomi dan diplomatik. Saya berada di Buenos Aires,
Argentina apabila saya tiba-tiba teringat kepada Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop yang mengetuai operasi perniagaan mata wang Bank Negara sewaktu
kita mengalami kerugian.
Saya ternampak beliau sedang berjalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum saya
berlepas ke Buenos Aires. Wajah beliau muncul dalam fikiran saya dan
saya memutuskan yang beliau mungkin boleh memberi penjelasan mengenai
perniagaan mata wang serta mencadangkan cara untuk mengatasinya.
Urus niaga mata wang asing kita yang merugikan itu mungkin boleh
menghasilkan suatu kebaikan dan menyelamatkan kita pada saat-saat kita
dikepung oleh peniaga mata wang.
Perkara itu amat mendesak dan saya tidak boleh menunggu sehingga pulang
ke tanah air, lalu saya meminta pejabat saya mencari dan menerbangkan
Nor Mohamed ke Argentina. Tidak lama selepas itu, beliau dan saya duduk
di dalam bilik hotel saya dan beliau menjelaskan selok-belok perniagaan
mata wang serta sebab kita mengalami kerugian.
Saya bertanya, apakah pengajaran daripada pengalaman itu yang boleh kita
gunakan untuk mengatasi masalah yang sedang kita hadapi?
Beliau mencadangkan agar kita mengenal pasti beberapa buah institusi
yang memiliki sumber kewangan yang besar dan menubuhkan sebuah tabung
khas untuk membeli ringgit. Kita terima cadangan itu dan
melaksanakannya.
Namun, sekali lagi kita tidak dapat melawan kekuatan peniaga mata wang.
Mereka boleh membuat spekulasi sehingga 20 kali ganda modal mereka dan
kita mungkin kehabisan rizab antarabangsa kalau kita cuba melawan mereka
dengan cara itu. Kita bukan berdepan dengan sebuah dana spekulasi mata
wang, tetapi beberapa buah.
Ternyata percubaan kita itu gagal. Saya tahu yang Nor Mohamed
berpengetahuan lalu memutuskan untuk melantik beliau menjadi Penasihat
Kewangan saya dan salah seorang anggota MTEN.
Kita mengajukan banyak soalan kepada beliau dalam usaha untuk memahami
dan mengawal perniagaan mata wang. Saya perlu memahami sedalam-dalamya
mengenai sistem perbankan dan kewangan, dan Nor Mohamed berjaya
memperjelaskan semuanya.
Disebabkan kita tidak faham selok-beloknya maka kita telah
memperkenalkan langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan. Pada satu
peringkat, terlintas dalam fikiran saya untuk menurunkan nilai ringgit
dan menaikkan gaji bagi mengimbangi kesan penyusutan nilainya.
Apabila saya membincangkan idea itu dengan beberapa orang kawan dan
Menteri, mereka berkeras mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan.
Namun, saya terus yakin mesti ada sesuatu yang boleh dilakukan secara
sah oleh kerajaan bagi menghentikan manipulasi mata wang kita. Sehingga
saat itu, saya masih beranggapan yang mata wang sebenar telah bertukar
tangan dalam urus niaga berkenaan.
Saya masih belum memahami perdagangan mata wang yang dijalankan dalam
bentuk abstrak dan maya serta bagaimana transaksi atas kertas yang
bernilai berbilion-bilion dolar boleh mengalir merentasi dunia dengan
lebih pantas berbanding kita membayar RM10 untuk membeli sayur di pasar.
Itulah sebabnya apabila kita diberitahu yang mata wang kita dibawa
keluar, kita menyangka orang yang terlibat benar-benar membawa wang kita
ketika mereka keluar dari Malaysia. Jadi, kita meminta pegawai kastam
di pintu keluar supaya memeriksa beg pengembara. Kita kehairanan kerana
tidak ada wang tunai yang cuba dibawa keluar.
Bagaimanapun, kita mendapati jumlah wang dalam edaran di Malaysia
berkurangan dengan begitu banyak dan berjuta-juta ringgit Malaysia telah
mengalir ke Singapura. Atas sebab itulah kita meminta kerajaan
Singapura mendepositkan sejumlah pegangan ringgit mereka ke dalam bank
Malaysia.
Kita juga hairan bagaimana peniaga mata wang di luar Malaysia boleh
memiliki berbilion ringgit duit kita untuk dijual. Saya tertanya-tanya
dari mana penyerang mata wang antarabangsa itu memperoleh ringgit?
Mereka melakukan jualan singkat dengan mengikat kontrak untuk
menyerahkan ringgit yang sebenarnya tidak mereka miliki. Bagaimanapun
lambat-laun mereka perlu juga membuat penyerahan.
Saya bertanya kepada Nor Mohamed bagaimana sejumlah besar mata wang kita
boleh meninggalkan Malaysia tanpa dikesan dan bagaimana peniaga boleh
membawa keluar berbilion-bilion ringgit. Kita juga tidak mempunyai rekod
pembelian ringgit sebelum mereka mula memperdagangkannya sebagai satu
komoditi dan dalam proses itu merosakkan kestabilan kadar tukarannya
Pada satu peringkat, saya membuat kesimpulan bahawa mereka tentu telah
membeli sejumlah besar ringgit sebelum memperdagangkannya di pasaran.
Nor Mohamed menjelaskan kepada MTEN bahawa sebenarnya tidak ada wang
tunai yang dipindahkan. Sejuta ringgit, walaupun dalam bentuk wang
kertas RM100, sudah cukup berat untuk diangkut. Jadi, tentulah mustahil
untuk memindahkan ratusan juta ringgit, apatah lagi berbilion ringgit.
Lagipun, ringgit hanya sah diperlakukan di Malaysia. Ia tidak boleh
digunakan di luar negara.
Bank dan penukar wang di negara lain mungkin menerima ringgit untuk
ditukarkan dengan mata wang tempatan, tetapi jumlahnya kecil sahaja. Di
penghujungnya, mereka pasti memulangkan mata wang kertas itu kepada
Malaysia untuk ditukarkan dengan mata wang pilihan mereka. Bagaimanapun,
ini jelas tidak berlaku. Kalau berlaku pun, kita tentu dapat melihat
barisan van perisai berulang-alik di antara Singapura dan Malaysia.
Jadi, apakah mata wang yang diperdagangkan sebenarnya? Nor Mohamed
menjelaskan bahawa tidak ada wang yang terlibat secara fizikal.
Sebaliknya wang sebenar ada di dalam bank-bank Malaysia, kebanyakannya
di dalam akaun pemilik wang itu.
Saya bertanya kepada kepada Nor Mohamed apa yang berlaku apabila wang
itu dijual atau dibeli. Menurut beliau, sejumlah kecil daripadanya
mungkin dimasukkan ke dalam bank atau diambil sebagai tunai. Namun,
biasanya wang itu dikreditkan ke dalam akaun penerima atau didebitkan
daripada akaun pembayar. Tidak ada transaksi wang tunai berlaku sama
sekali. Jual beli dibuat di atas kertas semata-mata. Yang berubah
hanyalah angka-angka di dalam akaun bank.
Apabila ringgit didagangkan, tidak ada wang yang menyeberangi sempadan.
Dalam erti kata lain, tidak ada wang yang keluar dari Malaysia ataupun
masuk ke dalam Malaysia secara fizikal. Proses itu mungkin rumit sedikit
bagi dagangan yang melibatkan akaun mata wang asing di bank-bank asing.
Begitu pun, ringgit yang diperdagangkan tidak akan sama sekali
meninggalkan Malaysia.
Saya sedar bahawa itu mestilah caranya. Jadi, kita meminta Bank Negara
menarik balik wang kertas bernilai RM500 dan RM1,000 bagi menyekat orang
ramai menyeludup keluar wang. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku
selama ini adalah ringgit Malaysia yang diperdagangkan itu kekal di
dalam akaun orang asing di bank-bank Malaysia. Disebabkan wang itu
dimiliki oleh orang asing, maka kita tidak boleh menggunakannya.
Ini adalah sesuatu yang baru kepada saya. Saya bukan seorang ahli
perbankan dan urusan saya dengan bank juga terhad. Saya selalu membuat
pembayaran menggunakan cek tanpa memikirkan bagaimana angka di dalam
akaun saya berubah. Transaksi saya umumnya kecil dan diuruskan oleh
pembantu peribadi saya.
Saya mula berasa gerun apabila menyedari yang saya telah membelanjakan
begitu banyak wang negara tanpa mengetahui apa-apa mengenai operasi
bank. Namun, sejak mempelajari bahawa ringgit yang diperdagangkan itu
tidak pernah keluar dari Malaysia secara fizikal dan jual belinya hanya
membabitkan pemindahan hak milik daripada satu akuan kepada akaun yang
lain di dalam bank, maka saya mula berfikir bagaimana kerajaan boleh
menggunakan kuasa kawalan Bank Negara ke atas bank-bank di Malaysia
untuk menghentikan perniagaan mata wang.
Saya yakin ramai rakan-rakan saya di dalam MTEN tahu bahawa sistem
kewangan mewujudkan lebih banyak kredit berbanding mata wang yang
dikeluarkan oleh bank pusat. Bagaimanapun, mereka tidak nampak bagaimana
maklumat itu mungkin boleh membantu mewujudkan kawalan rasmi ke atas
perdagangan mata wang. Mungkin ada baiknya juga kejahilan saya mengenai
sistem kewangan sebelum ini kerana ia memberi saya peluang untuk melihat
dengan persepktif baru tentang bagaimana boleh menggagalkan peniaga
mata wang.
Saya bertanya Nor Mohamed sama ada kerajaan boleh mengarahkan bank agar
tidak memindahkan hak milik apabila peniaga mata wang membeli dan
menjual ringgit. Beliau menjawab, boleh. Saya pun memikirkan kemungkinan
untuk melaksanakannya.
Serentak itu, Tun Daim, Nor Mohamed dan ahli-ahli perbankan di dalam
MTEN mula membincangkan kemungkinan menyekat peniaga mata wang daripada
memperoleh ringgit. Pada masa yang sama, kita perlu menghentikan jual
beli saham syarikat Malaysia melalui Central Limit Order Book (CLOB) di
Singapura atau apa yang disebut sebagai dagangan “atas kaunter.”
Ia diwujudkan oleh Singapura untuk meneruskan kegiatan jual beli
saham-saham Malaysia selepas kita memisahkan bursa saham kita daripada
bursa saham Singapura pada 1989. Urus niaga CLOB menyebabkan harga saham
kita merosot terus-menerus.
Indeks Komposit kita, iaitu Kuala Lumpur Composite Index (KLCI) berada
di sekitar 1,200 mata apabila serangan ke atas ringgit bermula. Bagi
mengelakkan kehilangan wang yang dilaburkan di Malaysia, maka pelabur
asing berpusu-pusu keluar dengan menjual saham milik mereka dan menukar
ringgit yang mereka peroleh kepada dolar Amerika atau mata wang lain.
Penjualan ini menyebabkan kejatuhan harga saham kita menjadi lebih
teruk. Pada satu peringkat, ia jatuh sehingga di bawah 300 mata. Modal
pasaran saham yang disenaraikan di bursa saham kita tinggal satu
perempat sahaja daripada nilai sebelum krisis.
Kita mendapati bahawa saham yang diniagakan melalui CLOB telah
didaftarkan atas nama syarikat-syarikat pemegang amanah. Amalan ini sah
dari segi undang-undang, tetapi apabila saham itu dijual dalam
lingkungan syarikat pemegang amanah maka pemilikannya tidak berubah; ia
kekal dalam tangan syarikat pemegang amanah terbabit. Atas dasar itu
maka jual-beli tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada Bursa Saham Kuala
Lumpur (BSKL).
Yang menjadi masalah adalah penjualan berterusan saham-saham itu
menyebabkan harganya jatuh. BSKL tidak dapat berbuat apa-apa mengenai
kegiatan CLOB. Transaksi saham-saham Malaysia di CLOB tidak perlu
didaftarkan dengan BSKL selagi ia kekal sebagai urusan atas kertas oleh
syarikat pemegang amanah yang sama.
Kita perlu menghentikan amalan itu dan memutuskan bahawa tidak ada
jual-beli akan diiktiraf kecuali pemilik sebenar mendaftar dengan BSKL.
Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menyebabkan transaksi berkenaan
tidak diiktiraf dan saham yang terlibat, dari segi undang-undang akan
dianggap sebagai hak milik penjual.
Sebaik sahaja kita mengenakan syarat itu, saham-saham tidak mungkin
boleh diniagakan lagi di CLOB tanpa mendaftarkannya dengan BSKL. Tiada
siapa akan membeli kalau saham itu tidak menjadi milik mereka dari segi
undang-undang. Ini memaksa pemilik sebenar untuk mendaftar urus niaga
mereka dengan BSKL sebagai syarat untuk mendapatkan pengiktirafan.
Tindakan kita itu berjaya menamatkan peranan syarikat pemegang amanah
sebagai orang depan dalam perdagangan CLOB. Semua pemilik perlu
mendaftar dengan BSKL. CLOB tidak lagi berperanan menjual-beli saham
Malaysia. Ia terpaksa ditutup.
Sementara itu, kita juga memutuskan untuk menambat ringgit kepada dolar
Amerika – satu langkah yang pastinya menimbulkan kontroversi.
Bagaimanapun, kita perlu menentukan kadar tukaran ringgit sebaik sahaja
selepas mengarahkan bank agar tidak memindahkan wang akaun mereka dalam
sebarang transaksi.
Kita juga perlu menyediakan rizab mata wang asing, terutama dolar
Amerika yang mencukupi dalam bank tempatan dan di Bank Negara sekiranya
diperlukan oleh pedagang bagi membayar import mereka. Dan sudah tentulah
kita perlu menjamin bekalan ringgit yang mencukupi di bank untuk
ditukarkan dengan mata wang asing pada kadar yang kita tetapkan.
Kita sentiasa mendesak agar pendapatan penjualan barangan buatan
Malaysia kepada pembeli asing dibawa balik dan didepositkan di dalam
bank Malaysia. Sesetengah negara membangun seperti Argentina membenarkan
pendapatan eksport disimpan di luar negara.
Dalam kes negara pengeluar minyak Timur Tengah pula, sebahagian mereka
tidak pernah membawa pulang perolehan eksport minyak mereka. sebaliknya,
mereka membiarkan pendapatan eksport minyak mereka yang sering disebut
sebagai “petrodollar”, mengelilingi dunia mencari pelaburan yang paling
menguntungkan.
Bagi kita pula, kalau kita benarkan hal ini berlaku maka ia akan
mengakibatkan pengaliran keluar yang berterusan pendapatan eksport
negara. Kalau kita tidak dapat menggunakan tukaran asing hasil eksport
kita, maka kita tidak akan dapat membayar kos import atau melunaskan
hutang.
Kesan daripada amalan membawa balik pendapatan eksport itu menyebabkan
Malaysia sentiasa mempunyai rizab mata wang asing yang mencukupi untuk
digunakan oleh pengimport bagi membeli barangan dan perkhidmatan asing.
Apabila kerajaan menetapkan kadar tukaran, ia harus menjamin bekalan
mata wang asing yang mencukupi untuk membayar kos import utama pada
kadar yang ditetapkan itu.
Kita mungkin boleh memperkayakan diri kita dengan mengukuhkan ringgit
kepada paras sebelum krisis, iaitu RM2.50 bagi satu dolar Amerika
memandangkan pada masa itu ringgit sudah mula pulih perlahan-lahan. Pada
kadar paling rendah, nilai ringgit susut kepada hampir RM5 bagi setiap
dolar Amerika. Ia kemudian berkisar sekitar RM3.80 dan RM4.
Kalau ringgit terlalu kukuh pula kerana kita menetapkan kadar tukaran
yang amat tinggi maka produk Malaysia tidak dapat bersaing dalam pasaran
antarabangsa dengan produk yang serupa dari Thailand, Filipina dan
Indonesia. Kita perlu menetapkan kadar tukaran yang tidak terlalu
memiskinkan kita dan pada masa yang sama menjamin persaingan produk
keluaran kita. Oleh itu, kita memutuskan kadar RM3.80 bagi satu dolar
Amerika.
Kita merahsiakan perkara itu, tetapi kita mahu Bank Negara dan BSKL
melaksanakannya. Kerajaan perlu menyelia pelaksanaan rancangan itu
hampir setiap minit.
Apabila kita mula melaksanakannya, kita tidak pasti sama ada kawalan itu
akan memberi sebarang kesan atau tidak. Kita pun tidak tahu sama ada
keputusan mengenai pendaftaran wajib jual-beli saham CLOB boleh
dilaksanakan atau terbukti tidak praktikal.
Perlu ditegaskan bahawa sewaktu kita mengambil keputusan tersebut di
dalam MTEN, Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan. Beliau tidak membantah rancangan untuk menyekat kegiatan
peniaga mata wang dan mengawal urus niaga CLOB.
Dr Noordin Sopiee tampil dengan lebih 30 sebab mengapa kita tidak harus
melaksanakan semua rancangan itu. Tidak semestinya beliau tidak
bersetuju dengan hujah itu, tetapi beliau mengemukakannya bagi mencabar
pemikiran kita.
Saya terpaksa berhujah mematikan setiap bantahan yang beliau kemukakan.
Ahli MTEN yang lain menunjukkan tahap sokongan berbeza-beza, dengan
sesetengahnya mengatakan bahawa langkah yang kita cadangkan itu tidak
pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum ini.
Memang betul ia berisiko, termasuklah kemungkinan keutuhan mutlak mata
wang ringgit. Pasaran gelap mungkin muncul bagi menjual ringgit dengan
harga yang lebih murah daripada kadar yang kita tetapkan. Kewangan dan
ekonomi negara mungkin menjunam dan tidak boleh dikawal lagi.
Kita sama sekali tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi.
Bagaimanapun, hujah yang mengatakan kita tidak patut melakukannya kerana
ia belum pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum ini mungkin sesuai bagi
orang yang penakut dan berfikiran kolot. Pendirian itu pastinya tidak
sesuai bagi seorang yang bertanggungjawab kepada negara dalam menghadapi
saat kesukaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Ada orang membangkitkan bahawa wujud keadaan di mana penduduk di
kebanyakan negara membangun enggan dibayar dalam mata wang tempatan,
sebaliknya mereka mendesak agar dibayar dengan dolar Amerika. Ringgit
juga mungkin ditolak sebagai bayaran. Jika ini berlaku maka nilainya
tidak lebih tinggi daripada harga kertas yang diguna untuk mencetaknya.
Saya mendapat tahu kemudian bahawa setengah ahli MTEN telah memberitahu
beberapa orang Menteri Besar supaya menghalang saya daripada meneruskan
langkah yang dirancang. Malangnya, mereka tidak bersedia untuk berdepan
dengan saya bagi berbahas mengenai perdagangan mata wang dan CLOB kerana
mereka tidak memahaminya.
Malah, pemahaman mereka juga sangat kurang mengenai betapa kompleksnya
langkah yang sedang kami rancang dan risikonya. Kalau pun ada antara
mereka mempunyai keraguan yang berasas, mereka tidak berkebolehan untuk
menyatakan pandangan mereka.
Keadaan itu memberikan kelebihan kepada saya. Saya berasa lega dengan
keputusan yang diambil, tetapi itu bukan bermakna saya tidak bimbang
dengan kemungkinan rancangan kita akan membawa bencana kepada negara.
Saya berasa gerun mengambil tindakan yang bertentangan dengan
kebijaksanaan konvensional serta bercanggah dengan pendapat pakar,
termasuk daripada IMF dan Bank Dunia.
Strategi kita tidak syak lagi bercanggah dengan pendapat umum yang
dilabelkan oleh pengkritik ekonomi sebagai “contrarian”. Ia bertentangan
dengan amalan konvensional dan kalau ekonomi kita runtuh akibat
daripadanya maka tidak ada sesiapa pun yang akan menolong kita. Saya
sendiri mungkin terpaksa berundur dalam keaiban – sesuatu yang amat saya
takuti.
Bagaimanapun, saya lebih takut kepada kemungkinan kita akan hilang
kawalan ke atas negara kita sendiri seperti kerajaan Indonesia yang
hilang kuasa kepada IMF. Saya amat tidak suka melihat gambar Camdessus
berdiri berpeluk tubuh bersebelahan Presiden Suharto ketika menyaksikan
pemimpin Indonesia itu menandatangani perjanjian dengan IMF.
Camdessus kelihatan begitu puas dan sinis menyaksikan Presiden Suharto
melepaskan kawalan ke atas ekonomi Indonesia yang berupa asas kedaulatan
negara itu – kedaulatan yang diperjuangkan dengan begitu gigih dan
berani menentang Belanda pada 1940-an.
Saya tentunya tidak mahu Malaysia menderita nasib yang sama. Kita telah cuba memujuk Indonesia agar tidak menyerah kepada IMF.
Menteri Kewangan Indonesia ketika itu, Marie Muhammad berhubung rapat
dengan Anwar yang mengatakan beliau ada meminta Marie supaya
menasihatkan Suharto agar tidak menurunkan tandatangan.
Saya diberitahu bahawa menjelang waktu itu. Presiden Suharto sudah tidak
boleh tidur. Seramai kira-kira 40 juta rakyat Indonesia telah hilang
pekerjaan. Rupiah sudah runtuh. Nilainya merudum daripada 2,000 bagi
setiap satu dolar Amerika kepada 16,000.
Rusuhan tercetus di ibu negara, Jakarta. Kedai dibakar dan ramai yang
terbunuh. Rakyat peribumi Indonesia menyalahkan krisis itu kepada orang
Cina Indonesia. Mereka tidak menganggap Amerika dan penguasaannya ke
atas IMF sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap krisis mata wang.
Apabila IMF mengambil alih kawalan ke atas kewangan Indonesia, langkah
yang mereka paksakan terhadap Indonesia seperti menghentikan subsidi
makanan dan minyak telah memburukkan lagi penderitaan rakyat dan lebih
banyak rusuhan berlaku.
Thailand dan Filipina yang turut menyerah kepada IMF juga menerima nasib
serupa. Hanya Korea Selatan berjaya melakukan pemulihan ketara selepas
menyerah kepada IMF.
Saya tidak sedikit pun yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF yang
dipaksakan oleh Anwar ke atas negara. Menteri-menteri mula mengadu
bahawa mereka tidak ada peruntukan untuk melaksanakan projek
pembangunan. Semua faedah dan keistimewaan dikurangkan dan langkah jimat
cermat mula memberi kesan negatif.
Anwar mahu melihat lebihan belanjawan di mana pendapatan mengatasi
perbelanjaan, tetapi mustahil boleh dicapai memandangkan kemerosotan
kuasa membeli mata wang ringgit. Jadi, beliau mengurangkan peruntukan
belanjawan sebanyak 25 peratus. Kalau kita terus mengurangkan belanjawan
maka akan tiba masanya nanti kita kehabisan wang di dalam
Perbendaharaan. Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan kita
mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita kepada pihak luar.
Saya berazam untuk meneruskan pelaksanaan strategi penyelesaian yang
telah dipersetujui. Kemudian pada saat akhir, Anwar menelefon saya untuk
memberitahu yang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan
Timbalannya, Fong Weng Phak telah menghantar surat peletakan jawatan.
Saya terkejut, tetapi tetap bertekad mahu melaksanakan langkah yang
telah diputuskan.
Saya meminta pegawai ketiga paling kanan di Bank Negara supaya datang
menemui saya. Pada masa itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah Penolong
Gabenor yang bertanggungjawab bagi hal ehwal ekonomi, operasi luar dan
pasaran mata wang serta kawalan tukaran asing .(3)
Saya kenal beliau, tetapi tidaklah rapat. Kita kesuntukan masa untuk
mencari Gabenor baru, jadi saya serta-merta melantik beliau menjadi
Pemangku Gabenor. Beliau datang ke kediaman saya dan saya jelaskan
kepadanya apa yang sedang berlaku serta apa yang harus beliau lakukan.
Mujurlah beliau seorang yang berkebolehan dan memberikan sepenuh
kerjasama. Menurutnya, beliau akan menghubungi bank dan menghentikan
semua pemindahan besar wang yang terbabit dalam perdagangan mata wang.
Dalam pada itu, beliau juga akan memastikan pembayaran untuk transaksi
perniagaan biasa diteruskan.
Pada 1 September 1998, Zeti secara rasmi mengumumkan pelaksanaan kawalan
mata wang dan ikatan ringgit kepada dolar Amerika. Beliau memberitahu
media massa: “Kita perlu bertindak bersendirian memandangkan masyarakat
antarabangsa telah gagal mengemukakan sebarang penyelesaian yang
bermakna kepada keadaan huru-hara kewangan global. Sebaik-baiknya dunia
patut bertindak seiringan dan bukannya memaksa negara bertindak
sendirian.”
Zeti yang kemudiannya dilantik menjadi Gabenor telah dijemput untuk
menyertai MTEN. Beliau memberi maklum balas yang baik mengenai keadaan
semasa pasaran dan pergerakan ringgit. Sejak menjadi Gabenor, Zeti telah
memenangi beberapa anugerah antarabangsa kerana kepemimpinannya di Bank
Pusat.
Antara perkembangan lain yang diperhatikan adalah kemungkinan munculnya
pasaran gelap mata wang ringgit. Kita memantau harga barang bagi
memastikan tidak ada pihak cuba membuat keuntungan berlebihan. Kita
memastikan bekalan semua barang keperluan utama adalah mencukupi.
Mesyuarat harian MTEN diteruskan. Bank disyaratkan supaya mendepositkan
semua tukaran asing yang mereka terima di Bank Negara. Dengan itu, kita
tidak pernah kekurangan mata wang asing untuk dijual kepada pengimport
tulen. Ikatan ringgit kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi setiap
dolar telah dikuatkuasakan dengan begitu tegas sekali dan ini terbukti
baik bagi pengimport serta pengeksport.
Kalangan ahli perniagaan gembira menerima ringgit pada kadar RM3.80
setiap kali mereka menukar dolar Amerika atau mata wang lain. Mereka
juga selesa dengan jaminan bahawa kita akan mengekalkan kadar tukaran
sehinggalah keadaan menjadi stabil semula. Mereka kini boleh merangka
belanjawan untuk sepanjang tahun tanpa perlu membabitkan diri dalam
kegiatan melindungi nilai ringgit. Ini secara langsung mengurangkan kos
menjalankan perniagaan.
Tindakan mensyaratkan pemilik saham mendaftar dengan BSKL dan
menghentikan penjualan saham Malaysia yang dipegang oleh syarikat
pemegang amanah juga telah membantu menyekat kejatuhan harga di BSKL.
Dalam jangka masa singkat, indeks komposit BSKL yang jatuh di bawah 300
mata telah naik semula kepada lebih 800 mata.
Jumlah hutang lapuk turut berkurangan selepas tempoh gagal bayar
dinaikkan semula kepada enam bulan dan ekonomi mula menunjukkan
tanda-tanda pemulihan.
Sewaktu krisis, kita memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan
masalah yang tercetus. Misalnya, apabila jualan hartanah membeku maka
kita menganjurkan kempen pemilikan rumah yang menggabungkan pemaju,
pembeli, pembiaya, pegawai kerajaan dan peguam. Pada pameran promosi
pertama, kira-kira RM3 bilion hartanah dijual.
Bagi menggerakkan semula industri pembinaan maka kita memutuskan supaya
dibina 40,000 unit pangsapuri untuk menempatkan penghuni setinggan.
Memandangkan jualan runcit tidak berkembang mengikut keadaan yang
sepatutnya maka kita menyediakan tempat pameran untuk peruncit dan di
mana perlu, kita membantu mereka merundingkan bekalan pada harga yang
lebih murah.
Di samping itu, kita meneliti laporan penggunaan elektrik, pergerakan
kargo dan kontena di pelabuhan, ketibaan pelancong, penumpang kapal
terbang, pendaftaran kenderaan baru dan banyak lagi. Jadi kita tahu
secara terperinci prestasi ekonomi dan sering mencari jalan untuk
merangsangnya.
MTEN memberi perhatian utama kepada operasi Pengurusan Danaharta
Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penyusunan Semula
Hutang Korporat yang semuanya ditubuhkan untuk menangani masalah hutang
lapuk serta permodalan semula bank.
Kita tidak membenarkan penjualan serta-merta saham yang diperoleh
melalui CLOB kerana ini akan menyebabkan kejatuhan harga semua saham.
Pemilik saham juga perlu mendaftar terlebih dahulu dengan BSKL. Kemudian
kita menubuhkan pula sebuah syarikat khas untuk membeli saham
berkenaan, memantau kepulangannya dan akhir sekali menjualnya secara
beransur-ansur supaya tidak mengganggu harga saham di BSKL.
Pada mulanya, pemilik saham CLOB itu tidak begitu gembira. Namun, hasil
pemulihan pesat BSKL menyebabkan harga saham naik 200 peratus sewaktu
syarikat khas yang kita tubuhkan itu mula membeli saham-saham CLOB.
Jadi, mereka terselamat daripada mengalami kerugian besar kewangan yang
amat mereka takuti. Mereka juga menunggu seketika sebelum menjual saham
mereka dan memperoleh keuntungan besar. Syarikat khas berkenaan turut
membuat keuntungan dan kerajaan mendapat balik modalnya yang diberikan
dalam usaha menyelamat yang berani.
Dunia mengutuk kawalan mata wang yang kita lakukan dan ramai ahli
ekonomi berkata bahawa ia tidak selari dengan sistem perdagangan
terbuka. Pakar-pakar meramalkan kemusnahan Malaysia dan dengan gembira
menunggu kepulangan kita ke pasaran dunia sebagai pengemis.
Kita bagaimanapun tidak gentar. Kita percaya yang kita telah menemui
jawapan tepat kepada penjarahan negara kecil oleh peniaga mata wang.
Cara kita mungkin tidak konvensional, tetapi berkesan.
Biarlah orang lain mempertahankan doktrin ekonomi, tetapi bagi kita,
yang lebih utama adalah menyelamatkan negara dan diri kita. Akhirnya,
kita pulih dengan lebih cepat daripada semua negara yang menerima
pinjaman IMF, sama ada secara sukarela atau kerana tekanan.
Negara-negara itu telah menyerah diri kepada langkah penyelesaian yang
sama untuk semua.
Peniaga mata wang menghentikan operasi mereka. bahkan IMF pun akhirnya
mengakui yang cara kita berkesan walaupun mereka tidak memperakukannya
kepada negara lain. Pakar ekonomi dan pemenang Hadia Nobel, Joseph
Stiglitz menyokong pandangan kita. (4)
Malah, Soros turut mengakui bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul dengan tidak menyerah kepada IMF.
Dasar yang kita laksanakan berkesan untuk negara kita, tetapi tidak
banyak negara membangun berada dalam keadaan yang serupa dengan kita. Ia
berkesan bagi kita kerana selain keazaman politik dan kepakaran
merangka dasar yang praktikal, kita juga mempunyai simpanan mata wang
asing yang banyak di Bank Negara untuk digunakan bagi melindungi
kedaulatan ekonomi kita. Selain itu, kita mempunyai simpanan yang besar
hasil pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab selama ini.
Kejayaan kita menyekat kemaraan peniaga mata wang dan menolak campur
tangan IMF bukanlah semata-mata kerana tindakan tegas kita pada masa
itu. Ia sebaliknya berpaksikan kepemimpinan ekonomi yang mantap oleh
kerajaan dan ketetapan dasar yang dilaksanakan, khususnya dalam dekad
70-an dan 80-an.
Bagaimanapun, krisis mata wang bukanlah satu-satunya masalah yang
terpaksa kita tangani.
Sehari selepas Zeti mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya dengan Anwar meletus.
Sehari selepas Zeti mengumumkan kawalan terhad mata wang, masalah saya dengan Anwar meletus.