Type Here to Get Search Results !

#MH370: KAPTEN NIK KOMEN TRANSKRIP PENUH PESAWAT YANG TELAH DIDEDAHKAN


KUALA LUMPUR: “Tiada yang pelik di dalam transkrip penuh komunikasi di antara pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan pusat kawalan udara.”


Demikian menurut bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain ketika dijemput Astro AWANI untuk mengulas transkrip penuh yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 1 April.

Nik Huzlan berkata berkemungkinan transkrip berkenaan lambat disiarkan kerana ia perlu ‘dibersihkan’ terlebih dahulu.

BACA : TRANSKRIP PENUH PESAWAT MH370

“Biasanya pusat kawalan udara sangat sibuk, pelbagai pesawat akan menggunakan radio seperti China Airline atau Japan Airline.

“Jadi sebelum ianya disiarkan, ia perlu dikenalpasti dan dibersihkan agar hanya perbualan MH370 sahaja yang diambil, yang tidak relevan tidak perlu disiarkan” katanya.

Secara terperinci, Nik Huzlan menerangkan makna perbualan juruterbang dan pusat kawalan udara bermula di ATC Delivery dan Lumpur Ground.

“Biasanya sebelum pesawat terbang, pembantu juruterbang akan mengawal radio dan juruterbang akan mengemudikan stereng pesawat.

“Jadi suara di sini adalah suara pembantu juruterbang” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nik Huzlan kurang pasti siapa yang bercakap di radio pada waktu pesawat MH370 memulakan penerbangan.

“Selepas take off, kita tidak dapat pastikan siapa yang bercakap kerana kadangkala juruterbang dan pembantu akan bergilir tugas.

“Ini adalah perkara biasa kerana mungkin ingin memberi peluang kepada pembantu menimba pengalaman menjadi kapten atau mungkin bergilir kerana banyak penerbangan yang telah dilakukan dalam sehari oleh juruterbang” jelasnya.

Nik Huzlan turut menerangkan mengenai perkataan “err” pada jam 12:42:48 yang merupakan suatu lumrah jika tersalah cakap.

“Biasalah jika banyak menerbangkan banyak pesawat, nombor pun boleh tersasul, saya tidak nampak ada masalah di sini” katanya lagi.

Namun begitu, Nik Huzlan mengakui dihujani pelbagai persoalan dari orang ramai mengapa pada jam 12:50:09 sehingga 01:07:55, transkrip menunjukkan pesawat MH370 mengulangi kata-kata yang sama.

“Mengikut pengalaman saya sebagai juruterbang, kadangkala kita terlupa adakah kita sudah menghubungi pusat kawalan udara atau tidak pada sesuatu ketinggian.

“Sebagai juruterbang, kita takkan buang masa berfikir biasanya kita akan hubungi sahaja kawalan udara semula” terang Nik Huzlan yang sudah mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang penerbangan.

Di akhir ulasan,Nik Huzlan turut menyelar pelbagai tuduhan dan publisiti yang tidak baik mengenai Kapten Zaharie Ahmad Shah.

“Ya, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh, namun berita mengenai pergolakan rumah tangga sama ada ia benar atau pun tidak, adalah sangat peribadi dan tidak wajar disebarkan.

Jika benar pesawat terhempas dan beliau tidak selamat, ini merupakan suara terakhir dari beliau” katanya mengakhiri perbincangan. - ASTRO AWANI
Tags

You may like these posts

Show more

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies