Type Here to Get Search Results !

Sistem Penetapan Harga Minyak Punca Pengusaha Stesen Minyak Rugi - Rafizi Raml



FBI akan hantar ejen ke Malaysia bantu siasatan pesawat hilang

Baru-baru ini banyak disiarkan di media dan juga laman sosial tentang keluhan pengusaha stesen minyak yang mengadu mengalami kerugian besar dan perkara ini adalah berpunca dari keputusan tergesa-gesa yang dibuat oleh menteri berkaitan.



Perkara ini diulas oleh Naib Presiden PKR, Sdr. Rafizi Ramli yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan. Beliau berkata sistem penetapan harga minyak punca utama pengusaha stesen minyak mengalami kerugian.

Sistem penetapan harga minyak yang dilaksanakan sekarang adalah berasal dari Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) yang mempunyai 4 komponen:

1) Kos petrol atau diesel
2) Kos operasi dan jaminan keuntungan kepada syarikat minyak
3) Kos operasi dan keuntungan pengusaha syarikat minyak
4) Subsidi atau cukai oleh kerajaan

"Sejak keputusan kerajaan menghapuskan subsidi, mekanisme ini tidak lagi berjaya melindungi kebajikan pengusaha stesen minyak kerana tiadanya subsidi bermakna harga petrol dan diesel tidak lagi stabil dan kerap berubah-ubah." katanya yang dipetik dari laman Facebook milik beliau.

Beliau menyifatkan perubahan harga petrol dan diesel telah memberi risiko besar kepada pengusaha stesen minyak sekiranya tidak diurus dengan baik dan perkara ini boleh membuatkan pengusaha tersebut gulung tikar jika berterusan.

Dengan sistem yang ada sekarang, mereka ini lebih terdedah kepada kerugian apabila harga minyak turun sedangkan mereka membeli stok petrol dan diesel pada harga yang lebih tinggi.

 "Contohnya syarikat minyak seperti PETRONAS, SHELL, PETRON dan BHP menetapkan setiap stesen minyak membeli stok minyak sekurang-kurangnya bersamaan jumlah jualan 3 hari petrol dan diesel pada satu-satu masa." 

"Mereka perlu membayar harga stok ini pada harga pasaran ditolak dengan komisen (12 sen bagi petrol dan 7 sen bagi diesel) yang telah ditetapkan oleh kerajaan."

"70% dari stesen minyak di Malaysia dianggarkan adalah stesen minyak bersaiz kecil atau sederhana yang purata jualan bulanan adalah di bawah 500,000 liter sebulan. Berdasarkan komisen petrol dan diesel yang ditetapkan oleh kerajaan, pendapatan bulanan setiap stesen minyak ini adalah di antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan." katanya lagi.

Daripada semua jumlah tersebut pengusaha stesen minyak perlu membayar beberapa kos lain seperti bil utiliti, sewa stesen minyak kepada syarikat pembekal minyak, gaji pekerja, cas perkhidmatan, cas kad kredit dan lain-lain cas yang berkaitan.

"Setelah ditolak kos-kos ini, keuntungan bersih purata pengusaha stesen minyak ini setiap bulan adalah di antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan."

Selain itu, pengusaha stesen minyak perlu menyediakan simpanan tunai yang besar untuk membeli minyak sekurang-kurangnya untuk bekalan tiga hari jualan.

Bagi 70% stesen minyak di Malaysia, jumlah stok ini adalah sekitar 50,000 hingga 70,000 liter setiap satu masa. Oleh itu, bagi stok di hujung bulan Disember, mereka terpaksa membayar sekitar RM100,000 hingga RM150,000 secara tunai (iaitu 50,000 liter X (RM2.26 - RM0.12)).

Apabila harga minyak diturunkan pada 1 Januari 2015, secara automatik mereka kerugian di antara RM10,000 hingga RM15,000 kerana stok minyak yang dibeli pada harga yang lebih tinggi hanya boleh dijual pada harga RM1.91 seliter. Oleh itu, dengan serta merta setiap pengusaha minyak rugi 35 sen setiap liter pada 1 Januari 2015.

Tindakan tergopoh-gapah kerajaan punca utama pengusaha stesen minyak rugi-Rafizi

Dalam keadaan purata untung bersih pengusaha stesen minyak seperti ini bagi setiap bulan hanyalah sekitar RM5,000 hingga RM10,000, kerugian serta merta dalam satu hari akibat kerugian inventori sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 seperti ini bermakna mereka akan menanggung rugi bersih sepanjang bulan itu. Jika ini berterusan, ada risiko banyak pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar.

"Sebab itu saya mengecam tindakan Barisan Nasional(kerajaan) yang membuat keputusan secara tergopoh-gapah menghapuskan subsidi tanpa mengkaji kesannya kepada rakyat dan pihak-pihak lain. Selain mendedahkan rakyat kepada harga minyak yang lebih tinggi, tindakan itu juga memangsakan pengusaha stesen minyak yang dibiarkan menanggung kerugian."

Beliau melahirkan rasa kesal dengan kenyataan-kenyataan oleh sesetengah pemimpin kerajaan seperti Tan Sri Ali Rustam, Pengerusi PUNB yang mencabar pengusaha stesen minyak menyerahkan operasi stesen minyak jika tidak mampu menjana keuntungan.

Beliau juga menyatakan rasa tidak faham mekanisme operasi dan kewangan stesen minyak sedangkan sebahagian besar pengusaha stesen minyak adalah usahawan Bumiputra yang kononnya golongan yang sentiasa dibela oleh kerajaan.

"Saya tegas mahukan harga minyak termurah yang adil bagi rakyat." 

"Saya juga mahukan satu sistem harga yang adil kepada pengusaha stesen minyak dan menjamin kestabilan bekalan petrol dan diesel kepada rakyat di seluruh negara." tegasnya.

Sistem sekarang yang diputuskan secara tergopoh gapah terbukti merugikan rakyat dan pengusaha stesen minyak. Saya menunggu jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Dato' Hassan Malek kerana jelas kementerian beliau tidak membuat kajian mendalam sebelum memutuskan untuk melaksana sistem sedia ada.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies