Julai lalu, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan kerajaan melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.
Dua persatuan itu menegaskan, seni khat dan tulisan jawi dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.
"Jadi, tidak mungkin pengajaran khat mampu meningkat penguasaan bahasa Melayu setiap murid.
"Pengenalan seni khat di sekolah cukup sekadar secara ringkas dan dimasukkan ke dalam subjek Pendidikan Seni.
"Kami menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan interaksi kaum di sekolah tetapi menentang dengan tegas terhadap penambahan unit dan kandungan yang membebankan guru dan murid. Kami juga tidak setuju jika pembelajaran kebudayaan tersebut diwajibkan," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Dong Zong sebagai satu pertubuhan yang rasis dan ia terbukti apabila persatuan itu tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara.
"Dong Zong ini rasis, (dulu) kita buat sekolah satu kampus, Sekolah Wawasan, sekolah Cina, Tamil dan kebangsaan dalam satu kampus, dia tidak mahu kononnya anak dia akan bercampur dengan orang Melayu.
"Jadi dia tidak suka, semua dia bantah. Tak pernah bersetuju dengan apa pun," katanya ketika ditanya wartawan mengenai tindakan Dong Zong yang membuat petisyen bantahan terhadap pembelajaran Jawi dan tulisan khat yang dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.
Sumber: Utusan, Astro Awani