Type Here to Get Search Results !

AKTIVIS KUWAIT BOLEH MERUNGKAI MISTERI MH370 JIKA DIPANGGIL PIHAK MALAYSIA

SEKIRANYA datang kepada kita seseorang membawa berita tentang apa yang "sebenarnya" terjadi kepada pesawat penerbangan MH370 — itu ini, begitu begini, janganlah kita terus percaya bulat-bulat. Hendaklah kita siasat dengan teliti.


Kita barangkali mudah menepis cerita yang didakwa kisah sebenar — kononnya — tentang nasib malang MH370 itu kalau ia berkait dengan tenung nasib, ilmu tilik atau teropong ajaib. Ini cerita karut, tidak masuk akal dan menyesatkan, kata kita.

Pesawat milik Penerbangan Malaysia berpendaftaran 9M-MRO yang dikenali umum dengan nama MH370.

Tetapi kita — tidak semua — mudah pula sebaliknya terperangkap untuk percaya dengan cerita yang kononnya datang daripada mimpi, misalnya. Mimpi-mimpi itu sekarang tersebar melalui jaringan sosial media, dikongsi oleh kawan yang kemudian berkongsi pula dengan kawan-kawan yang lain. Begitulah seterusnya.



Seorang ustaz yang bergiat dalam perubatan Islam menulis di Facebook tentang mimpinya melihat detik-detik akhir pesawat MH370 sebelum jatuh ke laut. Macam mana 'establishing shot'bahawa pesawat itu adalah penerbangan MH370 tidak beliau ceritakan dalam tulisannya itu — apakah ada penampakan nombor pendaftaran pada ekor pesawat, apakah ada pengumuman oleh juruterbang atau apakah tahu-tahu begitu saja mimpinya.

BACA SINI: USTAZ MIMPI PESAWAT MH370 TERHEMPAS DI LAUTAN

(Tetapi naratif mimpi begitulah; memang selalu tidak ada aturan, melawan logik akal dan selalu juga, melawan hukum alam. Seorang kawan saya mengaku setiap kali dia bermimpi terjatuh daripada tempat tinggi, dia tidak pernah jatuh sampai ke tanah — selalu saja terbang jatuh tetapi tidak jatuh-jatuh. Mimpi seperti itu — yang selalu — cukup memenatkan, katanya.)

(Gambar Kanan) Sepasang suami isteri di Bogor, Indonesia pula mendakwa dapat berhubung secara ghaib dengan krew pesawat. Daripada komunikasi itu, mereka diberitahu tentang keadaan pesawat yang mati seluruh perangkatnya dan kemudian jatuh ke laut.

Ada satu persamaan pada dua cerita ini: bahawa kedua-duanya berlaku selepas mereka membaca Al-Quran atau bersolat sunat. Ada banyak cerita seperti ini. Bomoh yang melagakan dua biji kelapa muda itu pun melaungkan kalimah Allahuakbar. Bahawa ada nuansa agama dalam cerita-cerita seperti ini adalah hal yang cukup menarik — agama jadi bumbu yang menyedapkan cerita, yang memberikan rasa yang lain kepada yang mendengarnya.

Apakah mimpi dan hal-hal lain itu boleh dipercayai? Siapa yang hendak percaya, percayalah. Siapa yang tidak mahu percaya, tidak usahlah percaya. Berpeganglah kepada panduan ini: Kamu dengan kepercayaanmu, aku dengan kepercayaanku.

Tetapi selain mimpi dan hal-hal ghaib yang disangkutkan dengan misteri kehilangan MH370, ada juga 'tukang tilik' yang muncul dengan bermacam-macam teori. Sesetengah mereka ini muncul di televisyen dan akhbar dengan penampilan yang meyakinkan — maklumlah, jual ayat.

(Gambar Kiri) Imej satelit objek-objek berkemungkinan serpihan MH370 yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Ada cerita kononnya pesawat itu disorok di satu tempat rahsia untuk kegunaan akan datang. Ada cerita ia gagal dikesan kerana ada pihak yang menggunakan teknologi halimunan. Ingat cerita Harry Porter dengan jubah halimunannya?

Ada juga cerita kononnya pesawat itu hilang kerana persaingan merebut hak paten yang dipegang oleh penumpangnya. Ada juga cerita kononnya MH370 terbang dibayangi sebuah pesawat lain milik Singapore Airlines dan kerana itu ia tidak dapat dikesan oleh radar. Ada juga cerita kononnya pihak berkuasa berkonspirasi menyembunyi cerita yang sebenarnya.

Dalam banyak-banyak teori konspirasi itu, ada satu yang menjadi pilihan saya. Seorang aktivis wanita di Kuwait tampil mendakwa dia tahu kenapa pesawat Malaysia Airlines itu hilang. Katanya, di kalangan penumpang MH370, ada seorang "personaliti Asia yang penting". Dia tidak menamakan siapa penumpang itu.

Tetapi, melalui satu mesej di YouTube, aktivis itu menegaskan dia hanya akan mendedahkan maklumat tersebut kalau ada permintaan rasmi. "Tidak bolehkah Malaysia menghantar wakil kedutaan untuk berjumpa saya (dan mendapatkan maklumat tersebut)? Kenapa perlu hanyar sampai 40 buah pesawat mencarinya dan mengheret seluruh dunia dalam masalah yang saya boleh selesaikan dengan mudah?" kata wanita itu.

"Percayalah, saya boleh selesaikan masalah ini kalau mereka (Malaysia) secara rasmi minta pertolongan saya. Banyak orang minta saya campur tangan tetapi saya tidak mahu kecuali ada permohonan rasmi."

Dalam tragedi, banyak orang yang bersimpati dan memahami tetapi banyak juga yang pasang lukah di tempat genting. Setakat ini, sesiapa pun yang mendakwa tahu sebab musabab kehilangan MH370, sama dia raja penipu atau tilikannya bernasib baik macam Nujum Pak Belalang.

Sehingga ini, teori tetap tinggal jadi teori. Seorang kawan saya menulis di Facebook: "Janganlah kita yang rasional ini terpedaya dengan teori konspirasi. Yang sakit mental itu, biarlah."

Misteri kehilangan  pesawat Malaysia Airlines itu mungkin hanya akan terjawab apabila kotak hitam pesawat itu berjaya ditemui. Atau mungkin juga nanti apabila siasatannya selesai, kita tetap tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada 8 Mac lalu.

Tetapi sehingga misteri ini dirungkaikan nanti, kita akan terus dihadapkan dengan banyak orang yang muncul dengan bermacam-macam teori. Mereka mungkin merasakan teori-teori itu menjadikan mereka sebagai VIP, orang yang penting. Mereka tidak sedar betapa teori-teori itu menjadikan mereka VDP, very dumb person. - ASTRO AWANI

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad


Hollywood Movies