Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu pengesanan DNA khinzir (porcine) dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas melalui aplikasi media sosial pada 23 Mei 2014.
Di dalam media sosial itu memaparkan keputusan analisis DNA khinzir (porcine) dikesan di dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk.Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk
melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada
penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya.
Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury diambil untuk analisis DNA khinzir (porcine) bagi tujuan pemantauan.
Keputusan analisis mendapati dua (2) sampel dikesan mengandungi DNA khinzir (porcine) iaitu:
i) Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor
kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014; dan
ii) Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan
nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.
Satu (1) lagi sampel Coklat Susu - Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan DNA khinzir (porcine).
Pihak pengeluar iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd beri jaminan akan memanggil balik produk-produk yang terbabit dari pasaran dengan serta-merta.
KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)
http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
NAMA : NOR SUZAMAN BIN ABDUL RAHMAN
Perhubungan Awam
Unit komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
TEL : 03-8883 2782
EMEL : n.suzaman@moh.gov.my
* Kenyataan KKM ini disediakan Bernama